Cubaan Sanusi raih simpati, dihantui kesalahan lalu
Dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kononnya terdapat gerakan untuk menyingkirkan beliau daripada Majlis Kewangan Negara, hanyalah dianggap untuk meraih simpati.
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh menyifatkan dakwaan itu sebagai tiada apa-apa, apatah lagi Sanusi mengakui tidak mempunyai bukti untuk menyokong dakwaannya kerana gerakan tersebut belum menjadi realiti.
“Benda (gerakan) itu saya rasa tidak wujud pun. Negeri lain bertenang sahaja, cuma dia (Sanusi) saja rasa macam itu. Sanusi ini dia ‘dihantui’ kesalahan-kesalahan yang dia buat sebelum ini seperti menghentam Kerajaan Persekutuan dan semua orang.
“Dia taklah mengaku salah, tapi dia dihantui dengan kesalahan-kesalahan sedemikian. Dia rasa orang nak singkir dia, saya rasa itu sahaja masalahnya. Orang suruh dia buktikan (dakwaan) itu pun, dia tak boleh buktikan.
“Contohnya anak bergaduh dengan ayah. Si ayah ini tak ada apa-apa isu pun, tapi anak pula merasakan ayah dia nak tekan, singkir dia. Sanusi rasa macam itulah,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai dakwaan Sanusi bahawa ada usaha terancang untuk menyingkirnya sebagai Menteri Besar yang mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara.
Semalam, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, terdapat usaha menamakan Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Norizan Khazali sebagai penggantinya dalam Majlis Kewangan Negara.
“Saya bercakap sebelum benda ini berlaku dan saya tak boleh biarkan perkara seperti ini berlaku. Kalau orang minta bukti memanglah tiada sebab gerakan ini belum menjadi realiti.
“Mereka akan kata cakap tak ada bukti, nak bagi bukti macam mana kalau benda belum jadi tetapi saya akan pastikan gerakan ini tak akan berlaku,” kata Sanusi.
Main sentimen
Mengulas lanjut Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor menyifatkan, sehingga kini Sanusi dilihat masih mahu bermain dengan sentimen bahawa negeri Kedah ditekan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Dia (Sanusi) masih bermain dengan sentimen seperti itu untuk meraih perhatian termasuklah kali ini dalam isu Majlis Kewangan Negara. Maksudnya, dia nak bermain dengan sentimen bahawa kerajaan pusat tidak berlaku adil kepada dia.
“Saya merasakan selepas ini akan timbul lagi isu lain dan ianya tak akan berhenti di sini sebab perasaan itu dah menghantui dia. Perasaan yang selama ini dia hentam orang, sekarang ini dah menghantui dia semula macam ada lembaga yang datang,” ujarnya lagi.
Â