Asnaf fakir, miskin Seremban terima duit raya RM1,000

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini meneruskan misinya ketika 10 terakhir Ramadan dengan menyantuni golongan asnaf fakir dan miskin.

Hari ini giliran seramai 391 asnaf di sekitar Seremban pula menerima bantuan kewangan sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berkata bantuan tersebut telah disampaikan di Masjid Imam Haji Kahar Rantau; Masjid Bandar Enstek Labu; Masjid Putra Bandar Baru Nilai; Masjid Pekan Lenggeng dan Masjid Kariah Pantai yang kesemuanya terletak di daerah Seremban.

”Selain menerima bantuan bulanan, asnaf fakir dan miskin turut menerima bantuan Ramadan berjumlah RM300 dan bantuan Aidilfitri berjumlah RM700 untuk asnaf fakir dan RM500 untuk asnaf miskin.

“Dalam majlis sama, setiap asnaf juga menerima bantuan tambahan serta sumbangan berjumlah RM300 daripada Menteri Besar Incorporation (MBI). Menteri Besar turut memberi duit raya kepada kanak-kanak yang hadir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, seramai 162 asnaf fakir dan miskin dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambau, Rahang dan Bukit Kepayang telah menerima bantuan Aidilfitri daripada MBI NS dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Hussein, Seremban 2.

Selain itu pada 6 April lalu, Aminuddin mengumumkan seramai 433 Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri itu akan menerima RM1,000 sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Katanya, seramai 433 Setiausaha MPKK turut menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM600 setiap seorang.

”Kerajaan Negeri menerusi MBI akan memberikan bantuan khas itu membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM692,800.

“Bantuan itu sebagai bagi menghargai peranan Pengerusi dan Setiausaha MPKK di kawasan masing-masing.

”Diharapkan dengan bantuan ini ia akan menyemarakkan lagi semangat MPKK untuk bekerja lebih kuat membantu rakyat,” kata Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri.

BACA JUGA: Aidilfitri: 4,524 asnaf Negeri Sembilan dapat bantuan RM1,000 dan RM800