Anwar mahu APEC jadi jambatan dunia menuju ekonomi lebih adil

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dialog dan kerjasama antara negara bukan lagi sekadar wajar, tetapi keperluan mendesak untuk mengekalkan keamanan dan kemakmuran.

Beliau berkata, perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja menjadi peringatan bahawa keamanan dan kemakmuran tidak akan kekal tanpa kepercayaan, kesabaran dan rundingan berterusan.

“Prinsip yang sama harus diangkat dalam konteks Gaza dan Ukraine bahawa penyelesaian berasaskan dialog, bukan kekerasan, sebaliknya adalah satu-satunya jalan menuju keamanan yang hakiki,” katanya di Facebook.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Kenyataan Negara semasa sesi intervensi Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC 2025 di Gyeongju, Republik Korea.

Anwar berkata, APEC terbukti sebagai pelopor yang memacu semangat keterbukaan, menggalas tanggungjawab moral dan memperkenalkan norma ekonomi global berasaskan kerjasama sukarela, bukan paksaan.

Kini, APEC sedang memupuk idea baharu yang menyentuh cabaran masa depan iaitu mengenai pertumbuhan hijau dan kewangan mampan; transformasi digital dan keterangkuman teknologi; rantaian bekalan yang berdaya tahan, serta peralihan tenaga bersih dan keselamatan makanan.

Semua ini kata beliau, seiring dengan aspirasi Ekonomi MADANI yang membina ekonomi yang inklusif, berdaya tahan dan mampan demi manfaat seluruh rakyat.

“APEC harus menjadi jambatan bukan sahaja bagi ekonomi Asia Pasifik, tetapi juga dalam memperluas keterlibatan dengan rantau Amerika Latin dan Afrika menuju sebuah tatanan ekonomi dunia yang lebih adil dan seimbang antara negara maju dan negara membangun (Global North dan Global South),” ujarnya 

BACA JUGA Terkini: Ismanira didapati bersalah abai Zayn Rayyan, dihukum penjara 5 tahun