Ringgit makin mengukuh, propaganda pembangkang terus ‘ke laut’

Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya sejak kebelakangan ini.

Nilai mata wang negara yang sebelum ini sering dijadikan modal politik oleh pembangkang untuk menimbulkan kerisauan rakyat, kini konsisten terus berdiri teguh.

Perkembangan ini bukan berlaku secara tiba-tiba, tetapi hasil pelaksanaan dasar yang berfokus dan terancang oleh Kerajaan MADANI diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apa yang kita saksikan hari ini ialah pemulihan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia. Dalam ekonomi global yang mencabar, keyakinan pelabur adalah satu aset penting.

Apabila keyakinan pulih, modal kembali mengalir, dan apabila modal kembali, aktiviti ekonomi bergerak lebih rancak. Inilah yang sedang berlaku secara berperingkat.

Sebelum ini, pembangkang atau mesra digelar walaun gemar menakut-nakutkan rakyat menjadikan kejatuhan Ringgit sebagai serangan politik utama.

Grafik parodi berserta tajuk sensasi dan video sindiran bertebaran. Tujuannya jelas mahu mencetuskan panik dan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Namun, hari ini, apabila angka mula berpihak kepada Malaysia, salakan walaun tiba-tiba sepi. Naratif yang sebelum ini dibina atas persepsi dan spekulasi mula rebah apabila fakta menunjukkan sebaliknya.

Konsisten dan berdisiplin

Kerajaan MADANI telah mengambil pendekatan yang konsisten dan berdisiplin iaitu memperkukuh kedudukan fiskal, menarik pelaburan bernilai tinggi serta menambah baik tadbir urus dan ketelusan.

Kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim Bersama Jemaah Menteri yang berdedikasi juga telah berusaha mengembangkan kerjasama perdagangan serantau selain mengurangkan kebergantungan kepada sektor buruh kos rendah.

Semua itu dilakukan bukan kerja sehari dua sebaliknya menuntut perancangan jangka sederhana dan panjang, keberanian membuat keputusan yang kurang popular, dan kestabilan politik untuk melaksanakannya.

Hari ini, kita melihat hasilnya termasuk usaha kerajaan MADANI melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95.

Ekonomi negara kembali menunjukkan daya tahan, dan Malaysia sekali lagi dilihat sebagai pemain yang stabil dan kompetitif di rantau ini.

Mereka yang dahulu menjerit bahawa negara kononnya sedang menuju kehancuran kini berhadapan dilema sama ada untuk mengaku fakta atau terus berpaut pada propaganda lama yang semakin longgar.

Rakyat kini boleh menilai sendiri: Siapa bekerja? Siapa hanya menabur ketakutan? Siapa membawa pelabur masuk? Dan siapa sekadar menimbulkan keributan di media sosial?

Ringgit yang kembali mengukuh bukan tanda bahawa kerja telah selesai. Ia tanda bahawa usaha kita sedang berhasil.

Inilah masanya untuk kita terus bergerak ke depan, dengan yakin dan tanpa menoleh kepada politik panik yang dimainkan pembangkang yang sehingga kini gagal membentangkan belanjawan alternatifnya.

BACA JUGA Krisis Bersatu: Suruh Mahiaddin beri keterangan kepada Lembaga Disiplin