UIAM pertimbang tindakan terhadap pensyarahnya yang buat kenyataan pelik-pelik

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sedang meneliti kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh seorang ahli akademik dari Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan AbdulHamid AbuSulayman (AHAS KIRKHS) yang telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan menimbulkan kekeliruan umum.

Menerusi kenyataan hari ini, Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP) berkata, tindakan sewajarnya akan diambil oleh pengurusan universiti berdasarkan hasil daripada penelitian secara dalaman mengikut tatacara sedia ada.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan seorang pensyarah UIAM bahawa teknik pembinaan kapal tamadun Rom zaman dahulu dipercayai dipelajari daripada pelaut Melayu.

Kenyataan ahli akademik itu susulan penemuan sekeping papan kayu yang dipercayai serpihan badan sebuah kapal dari abad ke-13 di Pulau Melaka, Melaka baru-baru ini.

Penemuan rangka kapal kayu gergasi berusia antara 800 hingga 900 tahun itu yang disahkan antara kapal tertua pernah dijumpai di Malaysia, sekali gus mencatat sejarah dunia arkeologi negara ini.

Mengulas lanjut, UIAM menegaskan, pihaknya sentiasa mendukung prinsip kebebasan akademik yang membolehkan sarjana berkongsi pandangan, menjalankan penyelidikan dan menyumbang kepada wacana ilmiah.

Tetapi, tegas UIAM, setiap kenyataan awam perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab, berpaksikan ketepatan ilmiah dan selaras dengan kepiawaian bidang.

“UIAM juga ingin menzahirkan komitmen berterusan untuk mengekalkan integriti akademik dan kepercayaan masyarakat terhadap universiti ini dan percaya keseimbangan antara kebebasan akademik dan tanggungjawab ilmiah amat penting bagi menjamin kredibiliti dunia akademik.

“UIAM komited untuk terus memastikan integriti dan kualiti pendidikan serta kesarjanaan dalam kalangan ahli akademik terpelihara dan percaya tanggungjawab besar ahli akademik adalah untuk mendidik masyarakat dengan ilmu yang tulen dan berfakta,” kata UIAM lagi.

BACA JUGA Walaun terdesak jaja suara ‘parti gagal’ Thailand buat modal serang kerajaan