Hak kanak-kanak pelarian untuk mendapat pendidikan masih ada di Malaysia
Hak kanak-kanak pelarian untuk mendapatkan akses pendidikan terjamin selaras dengan Artikel 28(1)(a) Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.
Ini adalah kerana golongan ini masih berpeluang mendapatkan pendidikan menerusi sekolah swasta atau pusat bimbingan alternatif, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
“Berdasarkan peraturan sedia ada, KPM sedar bahawa terdapat kanak-kanak bukan warganegara, termasuk pelarian, pencari suaka dan mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, dan tidak memenuhi syarat kemasukan ke sekolah kerajaan,” kata Fadhlina.
“Walaupun mereka tidak dapat mengikuti persekolahan di sekolah kerajaan, KPM sentiasa berusaha memastikan golongan ini masih berpeluang untuk mendapatkan pendidikan melalui sekolah swasta atau pusat bimbingan alternatif yang dibenarkan beroperasi di negara ini.”
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera).
Untuk rekod, kemasukan pelajar ke sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penerimaan Masuk Murid ke Sekolah, Penyimpanan Daftar dan Syarat bagi Pengekalan Murid Belajar di Sekolah) 1998.
BACA JUGA: Ringgit makin mengukuh, propaganda pembangkang terus ‘ke laut’