Orang ramai boleh akses dokumen lengkap perjanjian ART

Orang ramai kini boleh mengakses sepenuhnya dokumen lengkap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) di laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dokumen perjanjian yang ditandatangani pada 26 Oktober lalu semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur itu telah dimuat naik awal minggu ini bersama soalan lazim (FAQ).

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, langkah tersebut bagi membolehkan orang awam mendapatkan maklumat sebenar mengenai perjanjian itu.

“Jadi, ia tidak menjadi isu kerana dokumen tersebut kini boleh diakses di laman web MITI sepenuhnya,” kata Fahmi pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Jelasnya, isu berkenaan turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini, selain dimasukkan ke dalam Memorandum Jemaah Menteri (MJM) untuk diteliti sepenuhnya.

“Memang ada MJM yang dibawa dan perkara-perkara itu diteliti supaya tidak timbul isu atau dakwaan seperti yang dibuat oleh seorang Ahli Parlimen pada sesi soal jawab menteri, Selasa (4 November) lalu,” kata Fahmi lagi.

Perjanjian ART merupakan cadangan AS bagi merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April lalu.

Rundingan itu diketuai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi pihak Malaysia, manakala AS diwakili Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat.

BACA JUGA Dedahkan pelaku pencemaran Sungai Johor, AMANAH tuntut tindakan tegas