Perteguh tekad perjuangan, perbaharui semangat AMANAH – Dr Mujahid
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyeru para perwakilan agar menjadikan Konvensyen Nasional 2025 sebagai medan memperkukuh perpaduan serta memperteguh hala tuju perjuangan parti dalam mendepani cabaran politik semasa.
Menerusi kenyataannya malam ini, Mujahid menzahirkan rasa syukur atas kehadiran para perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara ke konvensyen yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam mulai esok.
Beliau berkata, konvensyen tahunan parti itu merupakan wadah terbesar buat AMANAH untuk memperbaharui semangat perjuangan, menilai strategi masa depan, dan terus mengangkat idealisme politik Islam progresif yang diperjuangkan parti itu.

“Konvensyen ini adalah tempat kita menyatukan fikrah, mengukuhkan ukhwah, dan memperkukuh idealisme perjuangan Islam yang progresif dan berprinsip berpaksikan nilai Rahmah, Adil dan Ihsan,” katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak itu turut menegaskan pentingnya setiap perwakilan memainkan peranan aktif dengan menyumbang pandangan bernas yang dapat memperkasa Amanah sebagai pelopor politik nilai dan harapan rakyat.
“Saya menyeru semua perwakilan agar menjadikan konvensyen ini sebagai ruang memperkukuh perpaduan dan mengangkat martabat parti,” tambahnya.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu berharap pertemuan kali ini akan membawa kekuatan baharu kepada AMANAH untuk terus menyempurnakan amanah perjuangan serta merealisasikan aspirasi rakyat.
BACA JUGA Zambry beri bayangan rombakan Kabinet, PM senyum saja