Dah lama rupanya PM Anwar impikan Masjid MADANI Permatang Pauh

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pembangunan masjid bukan sekadar menzahirkan keindahan seni bina, tetapi perlu dimakmurkan dan dihidupkan dengan ibadah, aktiviti keilmuan serta pengukuhan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid MADANI Permatang Pauh di Seberang Perai Tengah, hari ini.

Menurutnya, pembinaan masjid berkenaan merupakan impian yang telah lama dirancang, termasuk ketika beliau pernah melalui saat-saat sukar dalam hidupnya.

“Saya bersyukur atas ikhtiar membangunkan sebuah masjid seperti ini yang telah lama saya fikirkan semenjak terkurung di ‘Istana Hinggap’ satu ketika dahulu.

“Impian melihat sebuah masjid yang indah tetapi berfungsi dan dibangunkan atas asas takwa di Permatang Pauh,” katanya.

Beliau menegaskan, rumah Allah perlu dimuliakan dengan memakmurkannya melalui solat, ilmu, zikir dan kegiatan yang mengikat diri kepada Allah SWT.

Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut menyaksikan Pertukaran Dokumen Terma Utama Kerjasama Pembangunan Rumah Persaraan Mandiri Warga Emas antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) bagi memperkukuh kebajikan golongan warga emas.

Anwar berharap usaha tersebut memberi manfaat jangka panjang kepada ahli kariah dan menjadi amal jariah kepada semua pihak yang terlibat dalam membangunkan Masjid MADANI Permatang Pauh.

Beliau turut mengingatkan ayat Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 18, yang menegaskan bahawa masjid hanya benar-benar dimakmurkan oleh mereka yang beriman, mendirikan solat, menunaikan zakat dan hanya takut kepada Allah.

“Semoga usaha ini mendapat barakah Allah SWT dan dampak positif kepada ahli kariah dan berterusan menjadi amal jariah kepada semua pihak yang terlibat dalam membangunkan Masjid Madani Permatang Pauh,” kata beliau lagi.

BACA JUGA AMANAH tekad perkukuh perpaduan, sasar kejayaan PRN dan PRU-16