Semarakkan semangat alam, budaya dan lestari di Karnival Ban Canal 2025 – YB Rizam

Majlis Perasmian Karnival Ban Canal 2025 disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor. Karnival Ban Canal 2025 yang bertemakan “ALAM. BUDAYA. LESTARI.” berlangsung meriah di terusan bersejarah Ban Canal, Sabak Bernam, menyaksikan kehadiran ribuan pengunjung dari seluruh negeri. Dalam majlis penuh warna-warni itu, YB Datuk Nizam Ismail, EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan & Pengguna merangkap ADUN Sungai Air Tawar menzahirkan penghargaan dan rasa bangga atas kejayaan penganjuran acara berimpak tinggi yang menjadi kebanggaan masyarakat tempatan. (Gambar: Pejabat EXCO)

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas limpahan rahmat Allah SWT yang membolehkan warga Sabak Bernam berhimpun dalam suasana harmoni bagi meraikan karnival yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya. “Alhamdulillah, dengan izin Allah, kita sekali lagi dapat berkumpul di terusan bersejarah ini untuk meraikan semangat kebersamaan, memartabatkan budaya serta memperkukuh ekonomi tempatan melalui Karnival Ban Canal 2025,” ujar YB Nizam dalam ucapannya.

Menurut beliau, penganjuran Karnival Ban Canal sejak tahun 2022 telah membuktikan keberkesanannya sebagai acara komuniti berimpak tinggi, yang bukan sahaja memperkukuh jaringan sosial masyarakat, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi desa dan pelancongan lestari di Sabak Bernam. “Karnival ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi lambang kesungguhan masyarakat Sabak Bernam untuk memajukan daerah ini. Ia memberi peluang kepada usahawan kecil, memperkenalkan potensi agro dan pelancongan tempatan serta mengangkat identiti budaya kita ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

YB Nizam turut menjelaskan bahawa karnival ini selari dengan objektif utama pembangunan daerah di bawah Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) yang diterajui oleh MBI Selangor bersama rakan-rakan strategik. Beliau menegaskan bahawa dua matlamat utama penganjuran karnival ini iaitu memperkukuh pembangunan pelancongan berasaskan desa dan pertanian, serta menjamin kelestarian alam sekitar dan pemuliharaan sumber semula jadi.

Dalam ucapannya, YB Nizam turut menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan penganjuran lalu yang berjaya menarik 19,182 pengunjung serta menjana RM56,770 hasil jualan melalui penyertaan usahawan PLATS. “Kejayaan ini membuktikan bahawa Sabak Bernam mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab pelancongan desa dan pertanian utama di Selangor. Tahun ini, kita menyasarkan lebih 20,000 pengunjung dengan lebih daripada 50 aktiviti menarik yang disediakan,” ujarnya.

Antara aktiviti yang mendapat sambutan termasuk Pertandingan Sukan Air, Larian Santai @ Bendang, Festival Makanan, Pameran Agro & Eko-tani, serta Kempen Kesedaran Hijau yang mendidik masyarakat mengenai kepentingan alam sekitar dan perubahan iklim. Tiga Tonggak Aspirasi Sabak Bernam. YB Nizam turut menekankan bahawa kejayaan penganjuran Karnival Ban Canal 2025 menggambarkan tiga tonggak utama aspirasi daerah Sabak Bernam iaiti alam sekitar yang lestari dan terpelihara, komuniti yang sihat dan bersatu,, ekonomi yang progresif dan berbudaya.

Mengakhiri ucapannya, YB Nizam menyatakan keyakinan bahawa Karnival Ban Canal akan terus menjadi simbol keutuhan masyarakat Sabak Bernam serta wadah memperkasa ekonomi tempatan. “Saya yakin Karnival Ban Canal akan terus memperkukuh kedudukan Sabak Bernam sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam, budaya dan pertanian yang lestari, serta membuka lebih banyak peluang keusahawanan kepada generasi muda,” katanya sambil merakam