Konvensyen Nasional 2025: AMANAH seru perkukuh gerak kerja akar umbi dan agenda perpaduan

FOTO BERITA: Sesi Ucapan Penggulungan Presiden Datuk Seri Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dan Penasihat Umum Datuk Seri Ahmad Awang serta Jawatankuasa Pimpinan Nasional sempena Konvensyen Nasional 2025 di Dewan Raja Muda Musa, Jalan 7/52, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. 9hb November 2025 (Ahad)

Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan tekad untuk terus memperkukuh perjuangan berteraskan nilai Islam yang progresif serta memperjuangkan agenda reformasi dan kestabilan negara menerusi solidariti kepimpinan dan gerak kerja bersepadu di semua peringkat.

Ucapan penggulungan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu, bersama barisan Jawatankuasa Pimpinan Nasional, menutup tirai Konvensyen Nasional 2025 yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Jalan 7/52, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bahawa AMANAH akan terus menjadi suara rakyat dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerajaan perpaduan demi kestabilan politik serta kemakmuran ekonomi negara. Beliau menyeru seluruh ahli dan jentera parti agar memperkuat hubungan dengan masyarakat akar umbi serta menampilkan politik berintegriti dan berakhlak.

Beliau turut menekankan keperluan memperkasa generasi muda dan memperluas jaringan sokongan melalui pendekatan dakwah politik yang inklusif serta berasaskan prinsip Islam rahmatan lil ‘alamin.

Ucapan penggulungan turut disertai oleh pimpinan kanan parti yang menyentuh pelbagai isu termasuk pengukuhan organisasi, strategi komunikasi politik, pembangunan ahli serta persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Konvensyen Nasional 2025 yang menghimpunkan kepimpinan, perwakilan negeri dan ahli dari seluruh negara itu menjadi medan muhasabah dan perancangan strategik bagi memastikan AMANAH terus relevan sebagai parti Islam progresif yang memperjuangkan keadilan, tadbir urus baik dan kesejahteraan rakyat.