Tular pekeliling pinjaman RM200,000 untuk kereta baru MB, Speaker, Exco, ADUN Terengganu
Tular satu pekeliling rasmi didakwa daripada Pejabat DUN Terengganu yang memaklumkan tentang kelulusan pinjaman kenderaan sehingga maksimum RM200,000 kepada Menteri Besar, Speaker dan Exco dan ADUN.
Dokumen bertarikh 29 Oktober 2025 itu memaklumkan bahawa peruntukan terbabit adalah untuk sekali dalam tempoh empat tahun.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan ini telah bersetuju meluluskan pinjaman kenderaan kepada Menteri Besar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Rasmi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ADUN sehingga maksima RM200,000 untuk sekali dalam tempoh 4 tahun berkuatkuasa pada 29 Oktober 2025,” menurut notis tular.
Kandungan dokumen itu antara lain menyebut bahawa kelulusan pinjaman tersebut dibuat di bawah kuasa Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1980.
Berdasarkan dokumen tersebut, kerajaan negeri turut memutuskan untuk membatalkan dasar lama yang dibuat melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada tahun 1990 dan 1997, serta menggantikannya dengan dasar baharu yang membenarkan pinjaman kenderaan sehingga maksimum RM200,000Â
Ia tular selepas dimuat naik oleh pentadbir laman Greater Terengganu Development, yang meluahkan rasa kecewa dengan keputusan berkenaan.
Menurut pentadbir, langkah tersebut dianggap tidak wajar kerana ia sepatutnya boleh digunakan untuk kesejahteraan dan manfaat rakyat.
“RM16 juta untuk pinjaman kereta YB. Kecewa bila baca DUN Terengganu telah setuju untuk meluluskan peruntukan RM16 juta bagi pinjaman pembelian kenderaan YB-YB di Terengganu
“Pada pandangan admin, adalah tidak sesuai pindaan ini dibuat kerana RM16 juta itu sepatutnya boleh diguna bagi kesejahteraan rakyat…,” katanya.
BACA JUGA Orang ramai dinasihat berhati-hati, Monsun Timur Laut bermula Khamis ini hingga Mac