UPKO keluar daripada PH

UPKO telah memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH)

“Setelah mempertimbangkan penyertaan dalam PH selama empat tahun dan seruan rakyat Sabah agar penyatuan parti-parti tempatan Sabah dimulakan melalui pilihanraya ini, maka Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO memutuskan untuk mengundur diri daripada PH serta-merta.

“Keputusan ini akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH dan parti-parti komponen PH,” umum setiausah agung UPKO Datuk Nelson W Angang.

“Kedua-dua Ahli Parlimen UPKO iaitu Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau akan terus menjunjung titah Yang Di-Pertuan Agong supaya kestabilan Kerajaan Persekutuan harus dikekalkan sehingga penggal ini berakhir.”

Keputusan ini dibuat kerana jurang pendirian yang berbeza dengan pendirian parti komponen Pakatan Harapan lain.

“Sepanjang tempoh empat tahun berada dalam Pakatan Harapan (PH), UPKO telah menjadikan agenda Sabah First dalam perundingan berkaitan manifesto pilihanraya PH dan juga perbincangan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Pengerusi PH.

⁠”Bagaimanapun, sepanjang tempoh ini, berlaku jurang intepretasi, pandangan dan pendirian di antara UPKO dan parti-parti komponen PH di peringkat nasional mengenai tuntutan pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak serta kegagalan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah.”

UPKO turut mendedahkan bahawa kepengerusian PH Sabah bermasalah dan tidak diselesaikan.

“Kepengerusian PH Sabah oleh UPKO melalui Mesyuarat Agung PH Sabah tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada PKR Sabah. Malah UPKO turut menerima kecaman terbuka walaupun keputusan dibuat melalui pemilihan yang dikendalikan oleh pentadbir dari Ibu Pejabat PH.

“⁠Presiden UPKO kemudiannya hanya dilantik sebagai ‘coordinator’, tetapi keputusan-keputusan berkaitan persiapan pilihanraya oleh PH diputuskan oleh PKR tanpa autonomi sebenar oleh PH Sabah, bercanggah dengan apa yang telah diumumkan.”

Dengan ini UPKO akan bekerjasama dengan parti tempatan Sabah.

BACA JUGA: PRN Sabah: Di mana Pakatan Harapan bertanding?