PKR Sabah hormati keputusan UPKO undur dari blok PH
PKR Sabah menghormati keputusan rasmi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk berundur daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) seperti diumumkan melalui kenyataan Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W Angang.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, kerjasama erat antara pimpinan, jentera serta para wakil rakyat di semua peringkat telah terjalin sejak UPKO menyertai PH pada 2019.
“Kerjasama itu khususnya dalam memperjuangkan agenda reformasi, tadbir urus baik dan pembangunan inklusif di Sabah.
“Atas dasar itu, PKR Sabah menzahirkan penghargaan kepada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick serta seluruh kepimpinan dan ahli UPKO atas sumbangan, komitmen dan kebersamaan mereka dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Terdahulu, Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W Angang mengumumkan keluar daripada PH berkuat kuasa serta-merta.
Nelson berkata, keputusan berkenaan dicapai pada Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO.
Katanya, mesyuarat itu bertujuan membincangkan agenda ‘Sabah First’ yang menjadi asas perjuangan dan hala tuju kepimpinan parti berkenaan.
Dalam masa sama, Nelson memberitahu bahawa mesyuarat khas itu turut menyokong sepenuhnya keputusan Ewon meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Ewon, jelasnya, mengambil keputusan itu kerana tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding semakan kehakiman terkait hak 40 peratus hasil Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society.
Sepanjang tempoh empat tahun berada dalam PH, kata Nelson, berlaku jurang interpretasi, pandangan dan pendirian antara UPKO dengan parti-parti komponen PH pada peringkat nasional.
Ia, ujarnya, mengenai tuntutan pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, serta kegagalan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, PKR Sabah berpendirian bahawa perjuangan untuk mengembalikan hak 40 peratus hasil Sabah, pengukuhan autonomi serta pembangunan sosioekonomi Sabah yang adil tidak harus menjadi punca perpecahan.
Sebaliknya, tegas beliau, ia menjadi asas penyatuan dalam semangat federalisme yang matang dan saling menghormati.
“PKR Sabah menyeru semua parti, termasuk UPKO, terus meletakkan kepentingan rakyat Sabah sebagai keutamaan serta meneruskan kerjasama dalam ruang kebersamaan yang lebih luas di bawah semangat perpaduan dan reformasi nasional,” kata Mustapha lagi.
BACA JUGA Tular pekeliling pinjaman RM200,000 untuk kereta baru MB, Speaker, Exco, ADUN Terengganu