‘Jangan marah-marah, yang bising masa kempen kaya-kaya semua’

Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan adalah asas kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Malaysia Digital di Tawau semalam, rundingan dengan baik adalah lebih penting daripada pertelingkahan peribadi atau politik yang boleh menjejaskan rakyat.

“Jangan marah-marah. Runding dengan baik. Ini yang marah-marah itu bukannya semua kaya.

“Yang kita miskin-miskin gaduh terus. Yang bising-bising masa kempen ini kaya-kaya semua.

“Rumah di Kota Kinabalu. Rumah di Kuala Lumpur. Rumah di London. Rumah di Kanada.

“Dia gaduh – ‘Kita jaga suku kaum kita. Kita lawan Semenanjung’.

“Tapi yang untung kamu. Rakyat dapat apa? Tepuk saja,” tegas Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Anwar mengingatkan bahawa pilihan raya memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan negeri yang bekerja untuk mereka dan mampu menjalin hubungan harmoni dengan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, apabila hubungan baik terjalin, kerajaan negeri dapat diberi sokongan untuk menjaga pembangunan dan kepentingan rakyat secara menyeluruh.

“Saya nak ingatkan pilihan raya ini adalah kesempatan kita pilih kerajaan negeri yang bekerja untuk rakyat dan boleh baik dengan Kerajaan Persekutuan.

“Sebab apabila hubungan baik, kita jaga dengan baik. Jangan fitnah. Jangan jadi seperti sesetengah orang politik di sini.

“Oh… perjanjian Amerika Syarikat (AS) – Malaysia bermakna gas Sabah tak diambil, hanya beli di AS. Orang yang dengar pun tepuk – “Teruknya PMX. Dia tak mahu beli gas daripada kita”,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa keputusan terdahulu membeli gas dari AS bukanlah sesuatu yang baharu.

“Dulu pun beli dari AS. Yang beli sebelum saya jadi Perdana Menteri lagi,” kata Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA PKR Sabah hormati keputusan UPKO undur dari blok PH