Penghakiman 40% rakyat Sabah

ZULQARNAIN LUKMAN

Dalam satu keputusan bersejarah berkaitan hubungan Persekutuan dengan Negeri, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah membuat keputusan untuk memberikan hak rakyat Sabah sebanyak 40% daripada hasil negeri.

Penghakiman tersebut telah diberikan oleh YA Hakim Celestina Stuel Galid. Pihak-pihak di dalam kes tersebut adalah Sabah Law Society sebagai pemohon manakala responden pertama adalah Kerajaan Persekutuan dan responden kedua adalah Kerajaan Negeri Sabah. Kes tersebut telah difailkan melalui prosedur semakan kehakiman di bawah A. 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Penghakiman sepanjang 109 mukasurat itu boleh dilihat di sini.

Oleh kerana penghakiman itu agak panjang maka tulisan ini hanya akan menyentuh persoalan utama sekitar isu ini sahaja.

PERTAMANYA, kenapakah Sabah berhak mendapat 40% daripada hasil negeri Sabah? Mahkamah telah merujuk kepada Per. 112C dan 112D serta Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan yang secara ringkasnya menyatakan seperti berikut:

……………………………..

*Perkara 112C. Pemberian khas dan penyerahhakan hasil kepada Negeri Sabah dan Sarawak.*

(1) Tertakluk kepada peruntukan Perkara 112D dan kepada apa-apa batasan yang dinyatakan dalam seksyen yang berkenaan dalam Jadual Kesepuluh:

(a) Persekutuan hendaklah membuat kepada Negeri Sabah dan Sarawak berkenaan dengan setiap tahun kewangan pemberian yang dinyatakan dalam Bahagian IV Jadual itu; dan

(b) setiap Negeri itu hendaklah menerima segala hasil daripada cukai, fi dan dius yang dinyatakan dalam Bahagian V Jadual itu, setakat yang dipungut, dilevikan atau diperdapatkan di dalam Negeri itu, atau apa-apa bahagian daripada hasil itu sebagaimana yang dinyatakan sedemikian.

……………………..

*Perkara 112D. Kajian semula pemberian khas kepada Negeri Sabah dan Sarawak.*

(1) Pemberian yang dinyatakan dalam seksyen 1 dan subseksyen (1) seksyen 2 Bahagian IV Jadual Kesepuluh, dan apa-apa pemberian gantian atau tambahan yang dibuat menurut kuasa Fasal ini, hendaklah dikaji semula oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri-Negeri atau Negeri yang berkenaan itu mengikut lat tempoh yang disebut dalam Fasal (4), dan jika Kerajaan-Kerajaan itu bersetuju mana-mana pemberian itu diubah atau dihapuskan, atau suatu pemberian yang lain dibuat sebagai menggantikan atau bersekali dengan pemberian itu atau mana-mana daripadanya, maka Bahagian IV dan Fasal (2) Perkara 112C tersebut hendaklah diubahsuaikan melalui perintah Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang perlu untuk melaksanakan persetujuan itu:

………………………

BAHAGIAN IV (JADUAL KESEPULUH)

PEMBERIAN KHAS KEPADA NEGERI SABAH DAN SARAWAK

2. (1) Dalam hal Sabah, pemberian yang amaunnya sama banyak dalam setiap tahun dengan dua perlima daripada amaun yang hasil bersih yang didapati oleh Persekutuan dari Sabah itu melebihi hasil bersih yang akan didapati sedemikian oleh Persektuan dalam tahun 1963 jika:

(a) Akta Malaysia telah berkuat kuasa dalam tahun itu seperti dalam tahun 1964; dan

(b) hasil bersih bagi tahun 1963 dihitung tanpa mengambil kira apa-apa perubahan mengenai apa-apa cukai atau fi yang dibuat pada atau selepas Hari Malaysia,

(“hasil bersih” ertinya bagi maksud ini hasil yang terakru kepada Persekutuan, ditolak amaun yang diterima oleh Negeri berkenaan dengan penyerahhakkan hasil itu).

…………………..

Jadi 40% itu adalah terkandung di dalam Seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan. Walau pun perkataan 40% itu tidak disebut tetapi ianya adalah difahami daripada maksud perkataan ‘dua perlima’.

KEDUANYA, dalam kes ini Peguam Kanan Persekutuan tidak membantah berkaitan dengan hak Sabah untuk mendapat 40%. Ini dijelaskan oleh Hakim di dalam perenggan 84 Penghakiman yang menyatakan,

84. As a starting point, it must be noted that it was never the 1st Respondent’s stand that the State of Sabah was not ever entitled to the 40% Entitlement under Article 112C read with subsection 91) of section 2 of Part IC of the Tenth Schedule of the FC. The 1st Respondent’s stand was that the 40% Entitlement was not an immutable right but subject to review by the Federal Government and the State of Sabah based on the scope of Article 112D of the FC.

KETIGANYA, jika Peguam Kanan Persekutuan sudah bersetuju dengan hak 40% ini, apakah pula yang menjadi pertikaian di dalam kes ini. Pertikaian dalam kes ini adalah mengenai kajian semula pemberian kepada Sabah mengikut Per. 112D. Ini kerana jika dilihat Per. 112D (3) menyatakan bahawa kajian hendaklah dibuat 5 tahun sekali.

Per. 112D (3) Tempoh yang baginya peruntukan dikehendaki dibuat dalam sesuatu kajian semula ialah suatu tempoh lima tahun atau (kecuali dalam hal kajian semula kali pertama) suatu tempoh yang lebih lama yang dipersetujui antara Persekutuan dengan Negeri-Negeri atau Negeri yang berkenaan itu; tetapi apa-apa perintah di bawah Fasal (1) yang melaksanakan keputusan sesuatu kajian semula hendaklah terus berkuat kuasa selepas berakhirnya tempoh itu, kecuali setakat yang perintah itu digantikan dengan suatu perintah selanjutnya di bawah Fasal itu.

Kajian yang pertama telah dibuat melalui Sabah Special Grant (First Review) Order 1970 pada18/8/1970 untuk pemberian geran bagi tahun 1969 sehingga 1973. Selepas itu tiada dibuat apa-apa kajian sehinggalah pada 20/4/2022 melalui The Federal Constitution [Review of Special Grant Under Article 112D][State of Sabah] Order 2022 untuk pemberian geran tahun 2022, 2023, 2024, 2025 dan 2026. Sayugia, juga untuk menyebut bahawa Mahkamah juga telah mengambil maklum wujud satu lagi kajian yang memansuhkan perintah 2022 iaitu Federal Constitution [Review of Special Grand Under Article 112D] [State of Sabah] Order 2023 pada 24/11/2023 untuk pemberian geran tahun 2022, 2023, 2024, 2025 dan 2026. Perbezaan kajian 2022 dan 2023 adalah dari segi jumlah.

Kajian pertama (1970)

1969 -RM20 juta, 1970- RM21.5 juta, 1971 – RM23.1 juta, 1972 – RM24.8 juta, 1973 – RM26.7 juta.

Kajian kedua (2022)

2022 – RM125.6 juta, 2023- RM129.7 juta, 2024 – RM133.8 juta, 2025 – RM133.8 juta dan 2026 – RM138.1 juta.

Kajian ketiga (2023)

2022 – RM125.6 juta, 2023- RM300 juta, 2024 – RM306 juta, 2025 – RM312 juta dan 2026 – RM318 juta, 2027 – RM325 juta

KEEMPAT, bagaimana cara mengira pemberian khas ini. Hakim telah memperincikan cara untuk pengiraan 40% seperti berikut (perenggan 147 Alasan Penghakiman):

Federal Revenue derived from Sabah in current year [A]

Revenue assigned to State [ss3 or 4 of Part V of the Tenth Schedule [B]

Net revenue derived from Sabah in current year (A – B = C) [C]

Federal revenue derived from Sabah in 1963 [D]

Revenue assigned to Sabah in 1963 [E]

Net revenue derived from Sabah in 1963 (D – E = F) [F]

Special grant due to Sabah ini current year: 40% x (C – F = G) (G)

KELIMA, pokok sebenar pertikaian di dalam kes ini adalah isu mengapakah tiada kajian dibuat dari tahun 1974 sehingga 2022. Ini yang disebutkan oleh Hakim iaitu Sabah telah dipinggirkan haknya oleh Persekutuan selama 48 tahun dan jumlah 48 tahun itu perlu ditampung oleh Kerajaan Persekutuan.

Ini juga yang menjadi hujah Peguam Kanan Persekutuan bahawa sudah wujud semacam persefahaman antara Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan sepanjang tempoh 48 tahun tersebut dan hak untuk membuat kajian itu luput dengan berlalunya tempoh masa itu. Namun, hujah ini ditolak oleh Hakim dengan alasan bahawa hak untuk mendapatkan kajian itu adalah hak Perlembagaan dan sepatutnya Kerajaan Negeri dan Persekutuan berbincang dan duduk bersama bagi melaksanakan peruntukan Per. 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan setiap lima tahun sekali.

………………………..

KESIMPULAN

Sebenarnya panjang lagi yang diulas oleh Hakim tersebut khususnya mengenai bantahan Peguam Kanan Persekutuan terhadap permohonan Sabah Law Society ini. Kesemua bantahan itu berkisar mengenai sebab-sebab teknikal khasnya bagaimanakah cara untuk mentafsirkan peruntukan Perlembagaan sama ada perlu merujuk kepada dokumen-dokumen asas yang membentuk Malaysia seperti Cobbold Commission Report, IGC Report, Malaysia Agreement 1963 dan Malaysia Act 1963. Selain itu, ditimbulkan juga isu locus standi.

Jadi, adakah patut Kerajaan Persekutuan merayu terhadap keputusan ini? Hak untuk membuat rayuan itu adalah hak pihak-pihak di dalam kes tersebut. Sekiranya Kerajaan Persekutuan mendapati bahawa asas hakim menggunakan autoriti itu tidak tepat sehingga mengubah kepada keputusan merit kes maka rayuan patut dibuat. Ini bergantung juga kepada nasihat Peguam Negara. Namun, secara asasnya Kerajaan Persekutuan tidak menafikan hak Sabah untuk mendapat 40% hasil negeri.

Jika dilihat kepada kajian yang dibuat pada 2022 dan 2023 ini telah menunjukkan komitmen PMX untuk memberikan keadilan kepada rakyat Sabah berbanding Perdana Menteri terdahulu khususnya semasa zaman pemerintahan Tun Mahathir.

Kajian kedua dibuat pada bulan April 2022 iaitu semasa Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri (angkat sumpah pada 21/89/2021) dan diteruskan oleh Anwar Ibrahim. Mungkin cetusan untuk kajian semula ini hanya berlaku setelah kejatuhan Barisan Nasional pada tahun 2018 yang mana berlaku perubahan pemikiran di pelbagai peringkat sama ada di pihak kerajaan atau pihak rakyat.

Sekarang ini adalah musim pilihan raya di Sabah dan sudah pasti isu ini akan dimainkan oleh calon yang bertanding. Hakikatnya bagi rakyat Sabah adalah lebih baik untuk memilih calon yang boleh bekerjasama dengan kerajaan di peringkat Persekutuan berbanding jika memilih calon yang setiap masa ingin berperang dengan kerajaan Persekutuan. Ini akan memudahkan urusan kerajaan Negeri untuk menuntut 40% hasil Negeri tersebut.

Apa pun, kes sebegini adalah amat menarik perhatian dan sebagaimana yang diramalkan sebelum ini, isu Perlembagaan dalam masa 10 tahun akan datang adalah isu Federalisme. Sekiranya kerajaan negeri itu pandai, maka mereka perlu mengupah peguam dan pakar perlembagaan untuk membuat kajian dan semakan tentang peruntukan Perlembagaan dan membawa isu itu ke mahkamah jika tuntutan negeri tidak diendahkan oleh Persekutuan.

Semalam, Menteri Besar Kedah pula menyatakan bahawa kerajaan Kedah dalam proses pelantikan peguam bagi isu tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang. Namun, sebaliknya Timbalan Menteri Besar Kelantan pula menyatakan di dalam DUN bahawa kerajaan negeri tidak bercadang untuk membawa isu royalti minyak ke Mahkamah dan hanya akan menggunakan saluran diplomasi. Kerajaan Terengganu juga semacam senada dengan dengan kerajaan negeri Kelantan. Nampaknya dalam hal ini kerajaan negeri Sarawak dan Sabah lebih proaktif dalam menuntut hak negeri mereka.

Akhir kalam, Perlembagaan Persekutuan adalah satu dokumen yang hidup dan akan kekal sebagai tonggak dalam pemerintahan negara. Tidak kira kerajaan Persekutuan atau Negeri, mereka semua perlu akur dengan peruntukan Perlembagaan kerana akhirnya Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi di dalam negara.


ZULQARNAIN LUKMAN ialah Pengerusi KANUN, AMANAH.