Spekulasi KJ jadi menteri: ‘Saya serah kepada kebijaksanaan PM’
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kemungkinan Khairy Jamaluddin atau KJ, dilantik semula sebagai menteri.
Menurutnya, kali terakhir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta pandangannya berhubung cadangan pembentukan Jemaah Menteri ialah pada November 2022, iaitu ketika awal penubuhan kerajaan.
“Saya tak ada maklumat. Seingat saya pada November 2022, pada mula-mula membentuk kerajaan, waktu itu Perdana Menteri ada minta saya ikut terlibat memberikan pandangan.
“Tapi sekarang dah tiga tahun, Perdana Menteri mempunyai maklumat yang cukup banyak dan saya fikir dia berada pada kedudukan yang terbaik untuk menyusun barisan Jemaah Menteri ini bila sampai masa.
“Jadi, untuk itu, saya serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Simposium Kecerdasan Buatan (AI) Transformasi Keselamatan 2025, di Putrajaya, hari ini.
Dalam masa sama, Saifuddin menegaskan hal berkaitan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan tidak pernah dibincangkan.
“Sekarang Perdana Menteri sudah tiga tahun jadi Perdana Menteri. Jadi, I think he knows best.
“Saya hari-hari dengan Perdana Menteri, tapi tak pernah tajuk ini kami bincangkan,” kata Saifuddin lagi.
BACA JUGA Inilah punca utama Konvensyen AMANAH jadi kecoh