Ustaz Julpikar tekad rampas Sulabayan, anggap tanggungjawab sebagai amanah besar
FOTO WAN ZAHARI SALLEH
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, Ustaz Mohd Julpikar Ab Mijan menzahirkan tekad dan iltizam tinggi untuk membawa perubahan politik di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Beliau yang juga Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Semporna menyifatkan pemilihannya sebagai calon atas tiket PH sebagai satu amanah besar yang akan digalas dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan.

“Saya mengambil tanggungjawab besar ini selepas diputuskan pucuk pimpinan atas tiket PH.
AMANAH merupakan satu komponen dalam gabungan PH dan saya menyifatkan ini sebagai amanah besar.
“Insya-Allah, bersama-sama rakan-rakan PH dan komponen Kerajaan Perpaduan, kita akan berusaha sebaik mungkin untuk bersaing dengan sihat,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Harapan Daily hari ini.
Bapa kepada lima cahaya mata itu juga berkata, semangat serta kerjasama erat antara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan menjadi asas kekuatan jentera Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
“Harapan kita sangat tinggi untuk memenangi PRN kali ini. Selepas saya dinamakan sebagai calon, tentunya harapan itu semakin besar.
Namun saya tidak menolak hakikat bahawa kawasan Sulabayan ini merupakan kubu kuat bagi Parti Warisan,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, semangat perubahan di kalangan pengundi semakin ketara dan ramai rakyat Sulabayan dilihat menanti wajah baharu dalam kepimpinan tempatan.
“Dengan jiwa yang besar dan harapan tinggi terhadap rakyat, saya yakin mereka ternanti-nantikan pemimpin baharu yang mampu membawa suara mereka dengan lebih berkesan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Ustaz Mohd Julpikar yang juga pengasas sebuah pusat tahfiz turut menyeru seluruh jentera PH dan Kerajaan Perpaduan di Semporna agar bekerja bersungguh-sungguh untuk mendapatkan mandat rakyat.
“Bukanlah kita meletakkan keyakinan yang berlebihan, tetapi saya percaya, dengan kerja keras dan kesatuan bersama rakan-rakan Perpaduan, Insya-Allah kita akan mampu bersaing.
“Doakan kami agar diberi kekuatan dan kejayaan mendapat mandat rakyat,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Dua ‘Wan’ ini terus serang Azmin, Bersatu makin parah isu video