Turun Anwar 2.0 perlekeh penjawat awam, tanpa halatuju ekonomi

Rancangan Pas untuk menganjurkan demonstrasi Turun Anwar 2.0 sebagai penentangan terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) membuktikan bahawa ia memainkan isu politik sempit, memperlekehkan penjawat awam, dan tiada halatuju ekonomi.

Tindakan Pas ini juga tidak ubah seperti menafikan kecekapan serta menjejaskan maruah penjawat awam yang telah menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi dan profesionalisme,” kata setiausaha agung AMANAH, Faiz Fadzil dalam satu kenyataan.

“Perjanjian ini telah dirangka dengan penuh pertimbangan terhadap kepentingan ekonomi negara, kesejahteraan rakyat, dan kedudukan Malaysia di pentas global. Kejayaan menurunkan tarif timbal balas Amerika Syarikat ke atas Malaysia daripada 25% ke 19% merupakan yang terendah.

“Tindakan Pas memperlekeh perjanjian ini menunjukkan Pas tiada halatuju ekonomi. Lebih membimbangkan, ia memberi isyarat salah kepada dunia bahawa Malaysia tidak konsisten dalam dasar dan komitmen antarabangsa.

“Jika Pas memerintah, adakah Pas akan menghentikan hubungan dagang dengan Amerika Syarikat? Adakah Pas mempunyai pelan ekonomi lain apabila pekerjaan dan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang melibatkan ramai orang Melayu dirisikokan?

“Sedangkan Amerika Syarikat merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia melibatkan jumlah dagangan pada tahun 2024 sebanyak RM325 bilion dengan jumlah eksport Malaysia ke Amerika Syarikat sebanyak RM198.65 bilion.

“Nilai dagangan tinggi ini yang mengukuhkan ekonomi Malaysia dan membuka peluang pekerjaan kepada ramai orang Melayu dan anak muda.”

Demonstrasi Turun Anwar 2.0 telah diumumkan oleh ketua penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari sebagai tentangan terhadap ART.

BACA JUGA: Inilah punca utama Konvensyen AMANAH jadi kecoh