Malaysia–China digitalisasi CO: Eksport 2026 jadi lebih pantas, kurang kerenah
Oleh NAZRI HAMDAN
Malaysia dan China bersetuju untuk melaksanakan pertukaran sijil asal (Certificate of Origin, CO) secara digital bermula Januari 2026.
Jika sebelum ini eksport barang memerlukan penghantaran sijil fizikal, menunggu proses pengesahan yang lama serta berdepan risiko kehilangan dan pemalsuan, kini semua itu dapat dielakkan.
Malaysia akan memuat naik dan menghantar CO melalui sistem National Single Window, manakala China akan menerimanya melalui platform elektronik mereka.
Untuk makluman, Certificate of Origin (CO) ialah dokumen rasmi yang mengesahkan negara asal sesuatu barang.

Dokumen ini amat penting dalam perdagangan antarabangsa kerana negara pengimport menggunakannya untuk menentukan kadar tarif, cukai atau kelebihan perdagangan yang layak diterima.
Sebagai contoh, jika Malaysia mengeksport sarung tangan ke China di bawah perjanjian ASEAN–China FTA, Malaysia perlu mengemukakan CO untuk membuktikan produk tersebut benar-benar “Made in Malaysia”.
Hanya dengan itu China boleh memberikan kadar cukai rendah atau sifar cukai.
‘Kad pengenalan’
Tanpa CO, barang mungkin dikenakan cukai lebih tinggi, ditahan lebih lama di kastam atau disiasat kerana asal usulnya tidak dapat disahkan.
Pendek kata, CO berfungsi seperti ‘kad pengenalan’ bagi barang dagangan antarabangsa.
Langkah ini akan mempercepatkan proses pengesahan asal barang, menjimatkan masa, mengurangkan karenah birokrasi dan mengelakkan kelewatan kontena di pelabuhan.
Selain itu, kerjasama ini adalah sebahagian daripada komitmen kedua-dua negara di bawah ASEAN–China FTA dan RCEP, sekali gus memberi pelbagai manfaat kepada para pedagang Malaysia.
Apabila proses pengesahan CO menjadi lebih telus dan automatik, risiko penipuan dapat dikurangkan, kadar cukai dapat diterapkan dengan tepat, dan pihak kastam kedua-dua negara dapat mengesan barang mencurigakan dengan lebih cepat.
Dalam jangka panjang, langkah ini menjadikan Malaysia lebih kompetitif sebagai rakan perdagangan China, khususnya ketika dunia bergerak ke arah ekosistem perdagangan digital. Pendek kata: kurang kertas kerja, kurang kelewatan dan lebih pantas urusan dagangan.
BACA JUGA ADUN Pas dikecam selepas hina pengundi Sabah kempen beri roti Gardenia