‘Ring ring’, ‘diplomasi penelefonan’ terus pacu komitmen damai Thailand–Kemboja

Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memainkan peranan memacu komitmen ke arah penyelesaian damai Kemboja–Thailand dengan menonjolkan ungkapan ‘diplomasi penelefonan’ dan ‘ring ring’.

Menerusi hantaran di Facebook malam tadi, Perdana Menteri memberitahu beliau telah menghubungi Hun Manet dan Anutin Charnvirakul, masing-masing Perdana Menteri Kemboja dan Thailand untuk membincangkan perkembangan usaha damai susulan insiden terkini di sempadan kedua-dua negara berjiran itu.

“Saya menegaskan pendirian Malaysia untuk melihat persahabatan dan gencatan senjata antara kedua-dua negara diperkukuh selaras persefahaman yang termeterai di Kuala Lumpur hujung bulan lalu.

“Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam merintis jalan damai ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kedua-dua perdana menteri turut menyampaikan penghargaan atas pendirian Malaysia serta peranan yang digalas bukan saja sebagai Pengerusi ASEAN tetapi juga selaku sahabat dan jiran serantau yang mendambakan keamanan.

“Semoga kedua-dua negara terus menunjukkan kesungguhan dan keberanian untuk mengembalikan kestabilan di perbatasan demi keamanan yang berkekalan di rantau ini dan demi keselamatan rakyat kedua-dua negara,” tegas Anwar lagi.

BACA JUGA Malaysia–China digitalisasi CO: Eksport 2026 jadi lebih pantas, kurang kerenah