Penyokong Warisan nyanyi lagu roti Gardenia depan penyokong PN

Sesi penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pagi tadi berlangsung agak meriah dengan ribuan penyokong mengiringi calon masing-masing.

Di salah satu DUN ditandingi Warisan dan Perikatan Nasional (PN), suasana menjadi lebih gamat apabila kumpulan penyokong menyanyikan lagu popular roti Gardenia sebagai sindiran kepada PN.

Ia dinyanyikan penyokong-penyokong Warisan di hadapan penyokong PN.

Ia sebagai respon kepada kenyataan seorang ADUN Kedah daripada PN yang menggambarkan kempen memenangi hati rakyat Sabah semudah memberikan roti gardenia.

ADUN Pas Kuala Ketil, Mansor Zakaria sebelum ini berkata “Orang Sabah tu kempen dia bagi roti Gardenia ja” dalam sidang Dun Kedah baru-baru ini.

Kenyataan itu merujuk kepada rakyat Malaysia yang gemar membeli roti Gardenia dalam kuantiti banyak apabila pulang ke Sabah atau Sarawak. Jenama roti itu popular kerana harganya lebih mahal di sana.