‘Bilangan kerusi yang ditanding sedikit, tapi PH tetap mainkan peranan penting’

Pakatan Harapan (PH) terus memainkan peranan penting dalam memastikan tadbir urus negeri dikekalkan pada tahap tertinggi meskipun bertanding di kerusi yang lebih sedikit pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, kata pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Perdana Menteri, berkata beliau tidak mahu Sabah terus dibelenggu rasuah dan penyalahgunaan kuasa selepas pilihan raya.

“Kita mahu parti-parti dalam kerajaan negeri yang akan datang bekerjasama dan meneliti segala pembangunan, sebagaimana kita (kerajaan Persekutuan) lakukan bersama (kerajaan negeri sementara),” katanya pada program Bicara Perdana dan Majlis Makan Malam bersama Komuniti Cina, yang turut dihadiri Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, di sini malam tadi.

Perdana menteri mahu kerajaan negeri yang baharu memberi tumpuan kepada usaha membangunkan “Sabah Baharu”, dengan memajukan projek serta kemajuan dalam semua sektor bagi merealisasikan potensi besar negeri itu.

Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata beliau secara konsisten mempromosikan potensi negeri-negeri di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, semasa lawatan beliau ke luar negara.

“Sebab itu kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah penting,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia terus menarik pelabur global disebabkan keharmonian yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat untuk memelihara perpaduan yang telah lama wujud demi generasi muda.

“Tidak banyak negara dapat hidup aman seperti ini (di Malaysia). Tolong pelihara perpaduan ini untuk anak-anak kita.

“Kamu boleh mengkritik, kamu boleh cuba menjadi hero.

“Jika ada kekurangan, bincanglah dengan baik. Kita perlu bekerjasama kerana negeri ini memerlukan kestabilan,” katanya.

BACA JUGA: SPR sahkan Pejuang tak bertanding di Sabah