PKR tidak kemuka calon ketua menteri Sabah, ini sebabnya
PKR Sabah tidak menampilkan calon ketua menteri negeri tersebut. Sebaliknya ia akan menyokong calon daripada GRS atau BN berdasarkan keputusan pilihan raya Sabah pada 29 Nov.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud, objektif utama partinya bertanding dalam pilihan raya Sabah ke-17 ialah untuk mengukuhkan kerajaan negeri dan menempatkan seramai mungkin calon sebagai wakil rakyat.
GRS menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), yang turut berpakat dengan BN. Bagaimanapun, tiada kerjasama secara langsung antara BN dan GRS.
“Setakat ini, PKR tidak menampilkan calon ketua menteri sendiri.
“Hasrat PKR adalah untuk memperkukuh kerajaan negeri yang stabil dan kuat. Sebab itu, kita hanya bertanding di 10 kerusi, manakala rakan DAP tujuh dan Amanah satu,” katanya, lapor FMT.
Beliau turut menjelaskan bahawa beliau tidak bertanding seperti ketua parti lain kerana enggan perkhidmatannya menjadi ‘separuh masak’, memandangkan kedudukannya juga sebagai Ahli Parlimen Sepanggar dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
“Saya diminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk fokus pada tugas di Parlimen dan kementerian yang agak berat.
“Dulu saya berniat bertanding di Tempasuk, selama beberapa bulan (tumpu DUN itu, Sepanggar dan tugas kementerian) semuanya separuh masak,” katanya.
Menurutnya, selepas mempertimbangkan keadaan itu, beliau berlapang dada dan memutuskan tidak bertanding pada PRN kali ini.
“Tetapi saya akan bantu untuk memenangkan 10 kerusi tumpuan PKR dan menghantar wakil kita ke DUN,” katanya yang bertanding di DUN Tempasuk pada PRN 2020 tetapi kalah.
BACA JUGA: ‘Bilangan kerusi yang ditanding sedikit, tapi PH tetap mainkan peranan penting’