Kerusi parlimen Sabah, Sarawak akan ditambah tapi bukan mengikut MA63
Putrajaya telah membuat keputusan dasar untuk menambahkan kerusi parlimen Sabah dan Sarawak menjelang PRU akan datang tetapi ia tidak mencapai kuota satu pertiga sepertimana yang menjadi tuntutan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) umum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kerusi Parlimen, interpretasi berbeza. Sebahagian dari Sabah dan Sarawak mengatakan ini sebahagian MA63… ia termasuk Singapura,” katanya ketika ditanya sama ada tuntutan penambahan kerusi akan direalisasikan pada PRU akan datang.
Namun, beliau menegaskan kerajaan sudah memutuskan menambah jumlah kerusi bagi kedua-dua wilayah itu, selaras keperluan penyusunan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya sudah maklumkan dalam mesyuarat di Kuching, dalam mesyuarat utama dengan (Ketua Menteri Sabah) Hajiji Noor dan Premier Sarawak Abang Johari Openg sebagai dasar, kita akan tambah kerusi tetapi terpulang pada SPR,” katanya.
“Adakah ia satu per tiga? Tidak. Tidak ada komitmen dari segi itu. Tetapi, memang ada komitmen peningkatan,” jelasnya.
Menurutnya, penambahan kerusi bukan hanya melibatkan Sabah dan Sarawak, malah turut mengambil kira keadaan di Semenanjung yang menyaksikan beberapa kawasan Parlimen kini mempunyai populasi mencecah 380,000 hingga 400,000 pengundi.
Tambahnya perbezaan ketara antara kawasan luas berpenduduk rendah dan kawasan padat berpenduduk tinggi memerlukan semakan semula bagi memastikan kadar representasi lebih seimbang.
Anwar berkata, isu kuota 1/3 itu telah dirujuk kepada peguam besar Sabah dan peguam besar Sarawak serta peguam negara untuk diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri II Datuk Fadillah Yusof dilapor berkata, rundingan meminda kuota 1/3 atau 35% kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu dibuat secara bersemuka khususnya dengan setiap Ahli Parlimen Semenanjung.
Beliau berkata, ketika ini Ahli Parlimen Semenanjung mewakili 75% daripada 222 kerusi.
Ini bermakna jika pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat ingin dilakukan, tiada keperluan untuk merujuk Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak kerana wakil rakyat dari Semenanjung saja sudah lebih 2/3 kerusi.
BACA JUGA: Bilangan kerusi yang ditanding sedikit, tapi PH tetap mainkan peranan penting’