Adam Radlan di luar negara?
Selepas Adlan Berhan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga yakin bahawa Timbalan Ketua Bersatu Segambut Datuk Adam Radlan Adam Muhammad turut berada di luar negara.
“Kita syak beliau berada di luar negara. Kerjasama dengan Imigresen akan dibuat dalam masa terdekat.
“Paling penting keberadaan beliau. SPRM menyeru beliau segera balik bagi membantu siasatan,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, lapor Berita Harian.
Pada 20 Ogos lalu, Adam dibebaskan daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram selepas membayar kompaun RM4.1 juta.
Keputusan itu dibuat Mahkamah Sesyen selepas pendakwaan menerima surat representasi Adam mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Akta 613).
Adam sebelum ini berdepan beberapa pertuduhan, termasuk meminta dan menerima suapan berkaitan projek kerajaan bernilai RM47.8 juta, serta menerima suapan RM4.1 juta bagi membantu dua syarikat memperoleh projek Jana Wibawa.
Dia juga dituduh meminta RM2 juta sebagai upah untuk membantu mendapatkan projek sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.
BACA JUGA: Enam Adun PN Kedah wajar dapat ‘anugerah’ kualiti perbahasan teruk