Saifuddin ‘berkampung’ di Sabah, seru pesta demokrasi yang menyatukan
Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu bahawa beliau akan berada di Sabah sepanjang minggu ini bagi bersama rakyat negeri itu sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menerusi catatan beliau di Facebook sebentar tadi, Saifuddin menzahirkan harapan agar perjalanan pesta demokrasi di Sabah berlangsung dalam suasana matang, bersih serta mampu menyatukan seluruh rakyat.
“InsyaAllah, minggu ini saya akan berada di Sabah untuk bersama urang-urang Sabah menyemarakkan pesta demokrasi.
“Inilah masa untuk rakyat menentukan arah mereka, dan saya berharap ia berjalan dengan semangat yang matang, bersih dan menyatukan.
“Jumpa kamu di Sabah bah!” kata Saifuddin yang juga Pengarah Bersama PRN Sabah.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut berkongsikan jadual siri jelajah kempennya di enam kawasan DUN bermula hari ini hingga 20 November.

Dijadualkan, Saifuddin akan menjelajahi tiga DUN hari ini iaitu Inanam, Api-Api dan Petagas.
Seterusnya, DUN Gum-Gum dan Karamunting esok manakala 19 dan 20 November di DUN Merotai.
Bekas KSU dan calon PH, Datuk Ruji Ubi bakal menghadapi saingan empat penjuru di DUN Merotai.
PH akan meletakkan 22 calon manakala calon Bebas merekodkan jumlah penyertaan tertinggi dengan 74 calon, diikuti Parti Warisan (Warisan) dengan 73 calon, mewakili setiap DUN dipertandingkan.
BACA JUGA KPKT jawab fitnah hidangan minuman, serah kes kepada MCMC