Ini sebabnya MP Hulu Langat ucap tahniah Putrajaya, takziah Larut

Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) hari ini menggamatkan seketika Sidang Dewan Rakyat apabila mengucapkan takziah kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) kerana didakwa akan dilucutkan daripada jawatan itu.

Beliau juga sebelum itu mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang didakwa bakal dilantik Ketua Pembangkang.

Hamzah Zainuddin

‘Usikan’ Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (AMANAH) berkenaan berlaku ketika beliau membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 bagi Kementerian Kesihatan peringkat jawatankuasa.

“Saya nak ucapkan syabas dan tahniah kepada Ahli Parlimen Putrajaya, yang khabarnya akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang dalam Parlimen Malaysia.

“Takziah diucapkan kepada Ahli Parlimen Larut yang dilucutkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang. Selamat bertugas Ahli Yang Berhormat Putrajaya,” katanya sebelum mengakhiri perbahasan.

Susulan itu, beberapa Ahli parlimen blok pembangkang dilihat tidak berpuas hati dan menyifatkan ucapan Sany tersebut sebagai tidak kena dengan sesi perbahasan.

Terdahulu, tular satu draf dokumen dalaman bertarikh 10 November 2025 didakwa sebagai surat sulit kepemimpinan Bersatu yang mencadangkan Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu menggantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.

BACA JUGA ‘Orang Sabah makan roti Gardenia je tapi…’