Sokongan terhadap ketegasan Anthony Loke perkukuh keselamatan kenderaan berat
MOHD IKHMAL ISKANDAR
Demonstrasi pemandu lori yang berlaku baru-baru ini bukanlah kali pertama. Pada tahun 2019, bantahan sama turut diadakan, dan ketika itu Menteri Pengangkutan juga adalah Anthony Loke Siew Fook
Ini membuktikan bahawa beliau konsisten, berprinsip dan tidak tunduk kepada tekanan apabila melibatkan keselamatan rakyat.
Statistik rasmi menunjukkan pada tahun 2022 sahaja, sebanyak 6,080 kematian dicatatkan akibat kemalangan jalan raya di Malaysia.
Kajian MIROS pula mendapati kenderaan berat menyumbang sekitar 10–14 peratus daripada kemalangan maut dengan faktor seperti lebihan muatan, keletihan pemandu dan kegagalan komponen keselamatan menjadi punca utama insiden serius.
Dengan angka setinggi ini, langkah pembaharuan bukan sahaja wajar, malah wajib untuk mengurangkan risiko kemalangan.
Beberapa tindakan tegas Kementerian Pengangkutan wajar diteruskan, termasuk:
1. Penguatkuasaan ketat muatan maksimum (BDM) dan tindakan “grounding” terhadap lori terlebih muatan.
2. Pemasangan speed limiter dan telematik untuk mengawal kelajuan serta memantau pemanduan berisiko.
3. Peraturan masa memandu dan rehat mandatori melalui penggunaan tachograph.
4. Pemeriksaan PUSPAKOM dan JPJ yang lebih teliti terhadap brek, tayar dan komponen keselamatan lori lama.
5. Saman dan tindakan penguatkuasaan konsisten terhadap kesalahan kritikal.
Walaupun langkah ini menuntut penyesuaian industri dan mungkin meningkatkan kos operasi, ia secara langsung mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan hanya kenderaan benar-benar selamat beroperasi di jalan raya.
Pendekatan ini bukan sahaja selari dengan keperluan keselamatan moden, malah menepati prinsip maqasid syariah, khususnya hifz al-nafs (penjagaan nyawa). Segala usaha yang bertujuan mencegah mudarat dan melindungi nyawa adalah selaras dengan tuntutan syarak.
Ketegasan Anthony Loke dalam isu keselamatan kenderaan berat harus dipuji dan disokong. Dalam hal yang melibatkan keselamatan rakyat, tiada ruang untuk kompromi. Negara memerlukan keputusan yang betul, bukan sekadar yang popular.
Ikhmal Iskandar ialah seorang penganalisis pengangkutan.