PM Anwar ke Johannesburg hadiri Sidang Kemuncak G20

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berangkat ke Johannesburg, Afrika Selatan hari ini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Pemimpin G20.

Beliau menghadiri sidang kemuncak itu atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan undangan Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa, yang juga Presiden G20 2025.

Anwar akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon; ADUN Batu Uban, A Kumaresan; pegawai kanan kerajaan serta delegasi pemimpin perniagaan utama negara.

G20 di bawah pimpinan Afrika Selatan mengambil tema ‘Solidariti, Kesaksamaan, Kemapanan’, selari tema Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang menekankan keutamaan pembangunan saksama dan mampan bagi ekonomi berdaya tumbuh tinggi.

Sepanjang lawatan itu, Anwar dijangka mengetengahkan perspektif ASEAN dalam dua sesi persidangan berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan, Perdana Menteri akan memberi penekanan terhadap sudut pandang ASEAN dalam dua sesi sidang kemuncak itu.

Menteri Kewangan itu juga dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan Ramaphosa bagi meneruskan dan meneliti semula perbincangan yang dimulakan ketika lawatan rasmi pemimpin itu ke Malaysia bulan lalu, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan.

“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan bidang kerjasama utama termasuk perdagangan dan pelaburan, minyak sawit, industri halal, pendidikan serta pembinaan kapasiti, selain meneroka peluang baharu bagi memperkukuh hubungan dua hala.

“Perdana Menteri juga akan menerima kunjungan hormat Naib Presiden Botswana, Ndaba Nkosinathi Gaolathe, yang mana mereka dijangka membincangkan perkara berkepentingan bersama ke arah memperkukuh hubungan dua hala termasuk kerjasama dalam program transformasi ekonomi negara itu,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, Perdana Menteri turut dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari negara anggota dan negara jemputan G20 di sela-sela sidang kemuncak berkenaan.

Beliau juga dijadual bertemu pimpinan komuniti Muslim Afrika Selatan dan pemain industri utama tempatan dalam satu forum perniagaan, selain bertemu diaspora Malaysia pada majlis makan malam di Johannesburg.

“Jemputan kepada Anwar untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 mencerminkan komitmen Afrika Selatan dalam memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia.

“Peranan Anwar di sidang kemuncak itu membuka ruang kepada Malaysia untuk menonjolkan kejayaan dan pencapaian Pengerusi ASEAN-Malaysia 2025, sekali gus meningkatkan profil serta keterlihatan negara di platform G20 dan di arena global,” kata kenyataan itu lagi.

BACA JUGA Kes pelajar terkandas di Jakarta: Syarikat pelancongan dakwa sekolah masih tidak bayar hutang