Anwar hadiri Sidang Kemuncak G20, guna peluang suarakan isu mendesak
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Johannesburg, Republik Afrika Selatan hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20 atas jemputan Presiden Matamela Cyril Ramaphosa.
Menurutnya, undangan tersebut menggambarkan komitmen Afrika Selatan untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia, berteraskan persahabatan, saling menghormati serta aspirasi bersama sebagai Negara-Negara Selatan (Global South).
“Insya-Allah, penyertaan dalam Sidang Kemuncak G20 kali ini membuka ruang penting untuk saya berkongsi aspirasi serta pencapaian selaku Pengerusi ASEAN 2025, selain mengemukakan suara Malaysia dalam isu mendesak yang memberi kesan kepada rantau dan dunia.
“Saya menaruh keyakinan bahawa kehadiran Malaysia di Johannesburg bukan sekadar menghadiri persidangan, sebaliknya cerminan tekad kita untuk memperkukuh solidariti Global South, di samping meneroka kerjasama yang lebih bermakna dalam pelbagai bidang strategik demi manfaat bersama,” katanya dalam satu kenyataan.