Bersatu yakin PN menang lapan saja di Sabah?

Ketua Armada Bersatu Hilman Idham mendedahkan bahawa Bersatu yakin Perikatan Nasional boleh menang hanya di lapan kerusi di dalam pilihan raya negeri Sabah ke-17 yang akan diadakan pada 29 Nov.

“Dalam Bersatu kita sasarkan lapan untuk PN. Kita yakin kita ada peluang di lapan kerusi dan (pertandingan) banyak penjuru membuka peluang kepada mana-mana parti politik untuk menang.

“Dulu kita bertanding 19 menang 11,” kata Hilman dalam rancangan audiosiar The Tiger Show semalam.

Pada 11 Nov pengerusi PN merangkap presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin mengumumkan bahawa Bersatu akan bertanding di 33 kerusi, Pas lima dan Gerakan tiga di dalam pilihan raya negeri Sabah ke-17.

Keseluruhannya, 41 kerusi.

Keyakinan Hilman kepada jumlah kerusi yang sedikit itu adalah kerana majoriti calon mereka adalah calon baharu dan juga kerana PN menumpukan perhatian kepada pilihan raya umum akan datang.

Hilman turut menyatakan kesediaan PN untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik selain daripada Pakatan Harapan.

PN akan melancarkan manifestonya petang ini.

BACA JUGA: Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu dituduh pilih bulu, membuat pendakwaan terpilih