‘Wong putar belit sejarah dia lompat parti’
Calon Pakatan Harapan (PH) N69 Sri Tanjong Philip Yap Wui Lip, membidas calon Warisan Justin Wong Yung Bin yang memutarbelit fakta dan menutup sejarah lompat parti beliau dengan pembohongan terang-terangan.
“Tindakan Justin Wong yang berbohong tanpa rasa malu jelas menunjukkan sifat beliau yang cenderung kepada penipuan,” kata Yap.
Beliau menyeru pengundi agar menilai watak sebenar Justin Wong sebelum membuat pilihan.
Menurut Yap, dakwaan Wong dalam sebuah video baru-baru ini bahawa beliau meninggalkan PH kerana PH mahu menyertai kerajaan negeri GRS adalah penuh percanggahan, tidak logik dan langsung tidak selaras dengan fakta sebenar.
“Jika seorang ahli politik sanggup mereka-reka garis masa, bagaimana kita boleh mengharapkan dia bercakap benar?” soal Yap.
Yap menjelaskan fakta bahawa Wong mengumumkan keluar DAP Sabah pada 20 Januari 2022.
“PH hanya menyertai kerajaan Sabah selepas kegagalan “Langkah Kota Kinabalu” pada 5 Januari 2023.Jarak masa hampir setahun membuktikan dakwaan beliau direka-reka.”
Wong seharusnya tampil berterus terang dan memohon maaf, bukan mereka-reka alasan untuk menipu pengundi, tegas Yap.
“Rakyat Tawau tidak buta. Mereka paling tahu siapa yang benar-benar bekerja, dan siapa yang hilang entah ke mana.”
Beliau menambah, selepas Wong lompat parti, segala masalah dan beban kerja yang ditinggalkan dipikul sepenuhnya oleh pasukan DAP Tawau.
Philip berkata, kaunter khidmat setiap Ahad di Pasar Sin On, program komuniti & sambutan budaya, menyelesaikan setiap masalah rakyat dan mendengar setiap suara, menonjolkan DAP Tawau tidak pernah meninggalkan pengundi Tawau.
“Kami tidak patah semangat. Malah, tindakan beliau menjadikan kami lebih teguh. Ahli politik sebenar bukan muncul sebelum pilihan raya dan hilang selepas menang. Tiada drama, tiada bersembunyi, sentiasa turun padang, inilah kepimpinan sebenar!” tegasnya.
Yap terlibat dalam pertandingan enam penjuru di Sri Tanjong pada 29 Nov.
Wong ialah penyandang kerusi DUN yang mempertahankan kedudukan atas tiket Warisan.