Zulfikar boleh menangi kerusi sulung AMANAH di Sabah

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad yakin calon tunggal partinya di dalam pilihan raya Sabah ke-17, Mohd Zulfikar Ab Mijan boleh merealisasikan kerusi sulung AMANAH di Sabah.

Zulfikar bertanding di DUN Sulabayan yang terletak di dalam kawasan parlimen Semporna.

Khalid turut menegaskan bagaimana faktor calon dan jumlah pengundi seramai 14,000 orang memberikan keyakinan.

“Dari segi sambutan, sangat memberangsangkan. Nampak orang ramai keluar. Kita pun turun banyak face to face sebab 14,000 sahaja.

“Ia satu suasana sangat baik bagi AMANAH untuk mencatatkan kemenangan dan memenangi kerusi sulung di negeri Sabah.

“Saya harap semua petugas yang pergi menunjukkan akhlak yang baik bila bertemu warga Sulabayan,” kata Khalid di dalam rancangan audio siar Jom Channel bertajuk Amanah Untuk DUN Sulabayan: Antara Politik Roti dan Politik Khidmat malam tadi.

Zulfikar berdepan pertandingan lapan penjuru.

Jaujan Sambakong dari Warisan ialah penyandang kerusi Sulabayan yang menang dengan majoriti 3,245 undi dalam pertandingan tiga penjuru pada tahun 2020.

Justeru itu, Khalid tidak menolak kemungkinan Julpikar mencapai 50 peratus undi meskipun pertandingan lapan penjuru di Sulabayan kerana calon yang dipertandingkan merupakan anak tempatan yang dikenali ramai.