PH janji tiada lagi ‘mati karan’ di Sabah
Pakatan Harapan (PH) Sabah berjanji untuk menyelesaikan masalah infrastruktur air, jalan dan elektrik yang berlarutan seperti terangkum dalam manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Janji itu antara yang terkandung dalam 10 komitmen utama di bawah tujuh agenda untuk memastikan rakyat Sabah menikmati kemajuan sewajarnya.
Pelancaran manifesto hari ini yang bertemakan “Komitmen Pakatan Harapan Sabah” disempurnakan bersama-sama oleh Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengerusi AMANAH Sabah, Datuk Lahirul Latigu.
“PH Sabah tidak menjanjikan bulan dan bintang, kita sangat praktikal. Komitmen ini adalah berasaskan aspirasi sebenar Sabah yang mahu merasai kemajuan yang sepatutnya mereka nikmati,” kata Mustapha.

Menurutnya, komitmen pertama memberi fokus kepada tuntutan pengembalian 40 peratus hasil Sabah, satu isu yang sekian lama diperjuangkan rakyat negeri itu.
Komitmen kedua, menyentuh soal masa depan kewangan negeri melalui cadangan penubuhan Sabah Sovereign Wealth Future Fund bagi menjamin hak dan kestabilan ekonomi jangka panjang.
“PH Sabah turut berikrar memastikan hak Sabah terjamin melalui penubuhan Sabah Sovereign Wealth Future Fund.
“Komitmen ketiga menyentuh aspek akauntabiliti dengan memperkenalkan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Undangan Negeri merentas blok dan diberi kuasa untuk memanggil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi bagi sesi soal jawab terbuka.
“Keempat, reformasi pentadbiran Sabah melalui penstrukturan semula Kabinet,” katanya.

Peluang pekerjaan
Jelas Mustapha, komitmen kelima memberi tumpuan kepada golongan muda melalui penyediaan 20,000 peluang pekerjaan serta elaun sara hidup RM1,200 setahun.
Katanya, PH Sabah turut menekankan pembangunan industri bernilai tinggi menerusi aktiviti hiliran sektor gas, balak, kelapa sawit, pasir silika, agro-maritim dan pemprosesan makanan laut sebagai komitmen keenam.
“Ketujuh, agenda pemerkasaan wanita dengan memastikan 30 peratus penglibatan wanita dalam Kabinet Sabah, GLC dan kepimpinan tempatan.
“Terakhir, agenda Sabah Maju Bersama Malaysia Madani iaitu Sabah menjadi pemain utama serantau melalui kerjasama erat kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya lagi.
Pada PRN Sabah ke-17 ini, PH bertanding di 21 daripada 73 kerusi DUN, terdiri daripada 12 calon PKR, lapan DAP dan satu AMANAH.
Tarikh 29 November ditetapkan sebagai hari mengundi dan pengundian awal pada 25 November ini.
BACA JUGA Tang Jie-Ee Wei bawa pulang hampir RM157,000