Letih tidak halang PM Anwar terus bekerja walau tinggi di awan biru
Dalam perjalanan rasmi menuju ke Nairobi, Kenya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memperlihatkan komitmen yang tidak pernah surut terhadap amanah pentadbiran negara.
Perkara itu dikongsikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi sebentar tadi.

Beliau berkata, Perdana Menteri tetap menumpukan perhatian penuh terhadap nota serta dokumen yang perlu diperhalusi menjelang misi antarabangsa walaupun jelas keletihan selepas melalui jadual kerja yang padat.
“Dalam penerbangan menuju ke Nairobi, YAB Perdana Menteri meskipun jelas terpancar kepenatan selepas jadual yang padat masih tekun meneliti nota dan dokumen,” tulisnya di media sosial.
Menurut Farhan, sesiapa sahaja yang melihat situasi itu akan merasai betapa beratnya tanggungjawab yang dipikul oleh seorang pemimpin negara.
“Namun, inilah harga sebuah kepimpinan. Seorang pemimpin yang memilih untuk bekerja lebih tekun agar rakyat dapat hidup lebih baik,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Farhan turut mendoakan agar segala urusan Perdana Menteri sepanjang misi Diplomasi MADANI dipermudahkan dan diberkati, demi memastikan Malaysia terus dihormati serta dilihat aktif dalam usaha kerjasama antarabangsa.
“Kerja keras ini tidak lain tidak bukan adalah demi Malaysia,” katanya, menggambarkan dedikasi berterusan Perdana Menteri dalam memperjuangkan kepentingan rakyat di pentas global.
Sementara itu, Anwar dilapor tiba di Nairobi, Kenya, pada jam 5 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia).
Nairobi adalah singgahan terakhir beliau dalam rangka lawatan rasmi ke tiga negara Afrika.
Anwar diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
BACA JUGA Gempar anggota polis wanita tergamak komen ‘hapuskan PMX tak guna’