Status permohonan tahanan rumah Najib diketahui 5 Januari 2026
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 5 Januari tahun depan untuk keputusan permohonan semakan kehakiman difailkan Datuk Seri Najib Razak bagi memaksa kerajaan dan enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Titah Adendum itu didakwa diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd mencecah RM42 juta.
Najib turut memohon supaya, jika titah itu wujud, responden melaksanakannya dengan segera memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman.
Hakim Alice Loke Yee Ching menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, serta Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan dan enam responden lain.
BACA JUGA Selangor pula dinaiki air, 5 daerah terjejas, paras sungai alami trend menaik