Guru besar di Sabah ‘kantoi’ berkempen untuk calon PN
Seorang guru besar di Lahad Datu didakwa berkempen untuk calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Perkara tersebut didedahkan aktivis Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang secara sinis mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan (KPM).
“Sikap keterbukaan kerajaan MADANI yang meraikan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Silabukan, Lahad Datu yang berkempen untuk calon Perikatan Nasional…
“Tahniah KPM…,” ujar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Perak itu.

Hasnul turut berkongsikan tangkap layar individu menyerupai guru besar berkenaan yang bergambar bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Untuk rekod, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam surat edaran bertarikh 23 Julai 2025 telah memberi amaran kepada penjawat awam supaya tidak terbabit dalam aktiviti politik serta mengekalkan kedudukan berkecuali dalam mana-mana parti.
Ini termasuk tidak memakai lambang, memegang jawatan politik atau menjalankan kempen, kecuali dengan kebenaran dalam kes tertentu.
“Perkhidmatan awam sepatutnya bersifat profesional, adil dan tidak berpihak selaras dengan prinsip ‘neutrality’ (berkecuali) dan ‘impartiality’ (kesaksamaan) untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam menjadi tulang belakang dalam pentadbiran negara,” katanya.
Sebarang pelanggaran terhadap tatakelakuan boleh dikenakan tindakan tatatertib bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Penjawat awam terbabit boleh dikenakan hukuman amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau buang kerja, bergantung pada tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan.
BACA JUGA Selangor pula dinaiki air, 5 daerah terjejas, paras sungai alami trend menaik