PM Anwar pantau rapat nasib rakyat diuji banjir besar walau jauh di Kenya

Kerajaan MADANI menegaskan keprihatinan penuh terhadap kesukaran yang sedang ditanggung rakyat apabila bencana banjir terus memburuk dan menjejaskan lebih 15,000 mangsa di tujuh negeri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berada di Kenya bagi urusan rasmi berkata, beliau mengikuti rapat setiap perkembangan banjir di tanah air dan telah menerima laporan berkala mengenai situasi semasa.

Menurut Perdana Menteri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama aset pelbagai jabatan dan agensi telah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas bagi menyelamatkan penduduk yang masih terperangkap serta memastikan bantuan awal sampai tanpa lengah.

“Pasukan SMART turut dikerah ke Kelantan yang paling teruk terkesan, dan bersedia digerakkan ke negeri-negeri lain untuk mempercepat operasi menyelamat serta bantuan kecemasan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa kerajaan turut mengaktifkan Skuad Ihsan MADANI ke semua kawasan terjejas untuk membantu menguruskan kebajikan mangsa banjir di hampir 100 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang kini beroperasi di tujuh negeri.

Dalam masa sama, beliau dalam kenyataannya menyeru penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah apabila diminta.

“Keselamatan keluarga harus menjadi keutamaan,” tegas beliau.

Perdana Menteri turut menyampaikan doa agar semua mangsa banjir dikurniakan kekuatan, ketabahan serta dilindungi daripada sebarang kemudaratan.

“Semoga kita semua dipermudahkan dalam menghadapi ujian ini,” kata Anwar lagi.

Banjir semakin meruncing dengan jumlah mangsa yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus meningkat kepada 17,104 orang membabitkan tujuh negeri menjelang tengah malam ini.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa daripada 5,830 keluarga yang pada masa ini berada di 110 PPS.

Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 9,970 orang membabitkan 3,635 keluarga yang berada di 40 PPS.

Paras air sungai utama di Kelantan pula menunjukkan peningkatan di dua lokasi yang melepasi paras waspada setakat 7.45 malam tadi.

Laman Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan bahawa Sungai Melor, Bachok merekodkan paras air 7.68 meter (m), melepasi tahap waspada 7m dengan trend paras air menaik.

Sementara itu, mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 2,350 orang, Selangor (2,234), Perlis (1,011), Kedah (1,064), Pulau Pinang (377) dan Terengganu 98 orang.

BACA JUGA Syarikat pelaksana projek hakisan pantai dipengerusikan Exco Terengganu