Malaysia perkasa usaha terbit al-Quran pelbagai bahasa untuk dunia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia dalam usaha mencetak dan menerbitkan al-Quran dalam pelbagai bahasa untuk diedarkan ke seluruh dunia.

Langkah itu, ujarnya, bertujuan memastikan al-Quran menjadi sumber rujukan global yang menonjolkan keindahan, kesederhanaan dan rahmah sebagai inti ajaran Islam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan Masjid Jamia di Nairobi dalam rangka lawatannya ke Republik Kenya.

“Pertemuan ini membuka ruang untuk kami berbincang serta bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh pembangunan ummah bukan sahaja dari segi pendidikan dan dakwah, tetapi juga melalui pengukuhan institusi serta pembinaan masyarakat yang berakhlak dan berdaya.

“Saya menegaskan komitmen Malaysia untuk terus mengangkat martabat Islam sebagai agama yang menjunjung kesejahteraan, toleransi dan ihsan,” katanya.

Dalam konteks tersebut, Anwar berkata, beliau menekankan kepentingan pendidikan, dakwah berhemah, dialog antara peradaban serta kerjasama erat dengan komuniti Islam di Kenya.

“Saya turut menyerahkan sumbangan senaskhah al-Quran edisi khas, selain dua kotak al-Quran terjemahan bahasa Swahili dan bertajwid, sebagai simbol penyebaran ilmu serta ikatan persaudaraan ummah,” kata Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA Tiga pembohongan isu projek kawal hakisan pantai di pantai Kuala Nerus terbongkar