Presiden Kenya jadikan Malaysia model ‘Harimau Asia’ yang ingin dicontohi
Presiden Kenya, William Samoei Ruto menjadikan Malaysia sebagai contoh ‘Harimau Asia’ sebagai pemangkin negara itu untuk bangkit.
Ketika berucap di hadapan ahli Dewan Kenya, Ruto berkata, Malaysia yang ketika mencapai kemerdekaan berada hampir setaraf dengan Kenya, kini mampu berdiri sebagai antara ekonomi termaju kerana membuat pilihan yang berani dan berdisiplin.
Sambil menyifatkan Malaysia sebagai ekonomi dunia kelas pertama, beliau berkata Malaysia telah membuktikan kejayaannya walaupun tidak memiliki sumber kekayaan luar biasa.
“Mereka tidak memiliki sumber yang luar biasa. Mereka bukannya manusia luar biasa. Mereka hanya memiliki keberanian untuk membuat pilihan yang berani, berdisiplin dan teliti
“Mereka melabur kepada rakyat mereka, menuntut kecemerlangan, dan enggan terperangkap dalam keterbatasan keadaan.
“Mereka enggan berdamai dengan pencapaian yang biasa-biasa. Hari ini mereka berdiri sebagai ekonomi dunia pertama. Jika mereka boleh bangkit begitu juga Kenya. Ia boleh dilakukan,” katanya.
Semalam Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ruto mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kerjasama dua hala.
Kenya secara terbuka berkata, kerajaan itu sedang meneliti model kemajuan ekonomi Malaysia dan melihat negara ini sebagai penanda aras transformasi yang ingin dicontohi.
BACA JUGA BN beri sokongan penuh kepada calon PH di Sulabayan