Apa nak jadi dengan negara kita ini…
Satu demi satu pencapaian ekonomi direkodkan Malaysia tahun ini baik di peringkat serantau mahupun dunia.
Dalam diam, Malaysia muncul sebagai ekonomi negara Islam terkuat dunia 2025, menandakan pengaruh yang besar untuk 11 tahun berturut-turut.
Data itu telah diterbitkan laman Dinar Standard, sebuah firma yang fokus kepada ekonomi Islam global. Ia diterbitkan pada Ogos lalu.
Malaysia telah meraih kedudukan nombor satu sebagai ekonomi Islam terkuat dunia bagi tahun 2025, dengan pencapaian skor indeks yang mengagumkan iaitu 165.1.

Tidak hanya itu, ringgit kini diiktiraf sebagai mata wang paling kukuh di Asia, meninggalkan negara jiran yang lain.
Ringgit ketika ini berada paras RM4.13 berbanding dolar Amerika Syarikat dan dijangka mencecah RM4.10 pada penghujung tahun ini.
Malaysia turut mencatatkan sejarah baharu dengan akaun perkhidmatan negara mencatatkan lebihan RM0.7 bilion pada suku ketiga 2025, menandakan kali pertama lebihan dicatatkan selepas 14 tahun mengalami defisit berterusan.Â
Prestasi ini menunjukkan aliran eksport perkhidmatan kini mengatasi aliran import perkhidmatan.

Ini menjelaskan bahawa aliran wang yang dibawa masuk ke dalam Malaysia telah meningkat disokong aliran pelancongan yang lebih kukuh.
Kedudukan positif ini hasil pelaksanaan dasar kewangan yang berdisplin, pengurusan ekonomi yang teratur serta penguatkuasaan subsidi lebih bersasar.
Selain itu pada 14 November, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan laporan ekonomi yang menunjukkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat 5.2 peratus pada suku ketiga 2025.
Ia lebih baik berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan ini disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang kekal memberangsangkan dan peningkatan ketara aktiviti pelancongan, khususnya sepanjang tempoh cuti umum dan cuti persekolahan.
Pada 17 November pula, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025.
Pendapatan kumpulan itu meningkat 11 peratus berbanding RM57.57 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2024.
Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 adalah sebanyak RM25.07 bilion, meningkat 27 peratus berbanding RM19.67 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Dengan pencapaian berterusan ini, tidak mustahil Malaysia akan berkembang dengan lebih baik dan menarik kepercayaan pelabur untuk terus melabur di negara ini.
BACA JUGA Presiden Kenya jadikan Malaysia model ‘Harimau Asia’ yang ingin dicontohi