Belanjawan Pulau Pinang 2026: AMANAH sifatkan belanjawan terbaik zon Utara
OLEH FAIZ FADZIL
Tahniah diucapkan atas kejayaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang semakin hampir memadam defisit fiskal dan terus merancak pembangunan berskala mega di negeri ini.
Ini mengekalkan Pulau Pinang sebagai negeri paling maju di utara Semenanjung Malaysia, dan paling signifikan, pembangunan industri tidak menganaktirikan sektor pertanian.
Buktinya, Pulau Pinang terus menduduki tangga teratas berdasarkan purata hasil padi sehektar, dan pada masa yang sama, menyaksikan puluhan bilion ringgit dilaburkan ke dalam sektor semikonduktor.
Seperti yang dilihat melalui pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini, Pulau Pinang telah berjaya menurunkan defisit ke paras terendah dalam sejarah, iaitu hanya RM19.9 juta.
Ini adalah penurunan 41% berbanding anggaran tahun 2025. Kejayaan ini membuktikan langkah penjimatan, kecekapan perbelanjaan dan strategi ekonomi kerajaan negeri berada di landasan yang tepat.
Bukan itu sahaja, kadar defisit ini jauh lebih rendah berbanding banyak negeri lain termasuk Kedah. Adakah prestasi ini membuatkan negeri-negeri SG4 terutama Kedah mencemburui Pulau Pinang?
Lebih membanggakan, hasil Pulau Pinang bagi 2026 dijangka melepasi paras RM1 bilion, satu pencapaian bersejarah yang menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang sihat, pelaburan yang berterusan dan keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap pentadbiran PH dan Perpaduan di negeri ini.
Bagi tahun 2025, Pulau Pinang telah membuktikan keupayaan ekonominya apabila hasil negeri berjaya melepasi sasaran setahun penuh hanya dalam tempoh lebih 10 bulan sahaja. Ini adalah disebabkan oleh jentera pentadbiran terutama penjawat awam yang komited dan strategi ekonomi negeri yang berkesan.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut menzahirkan komitmen tinggi kepada rakyat melalui peningkatan peruntukan kira-kira 10% bagi Belanjawan 2026, disertai fokus kepada projek-projek berimpak tinggi yang bakal memacu pembangunan lebih mapan dan inklusif.
Lebih penting, hampir separuh daripada projek keutamaan yang dikemukakan Kerajaan Negeri kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika sesi libat urus RMK13 pada 18 Mac lalu, telah diterima dan dimasukkan dalam Belanjawan Persekutuan 2026.
Ini menunjukkan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap hala tuju pembangunan Pulau Pinang serta hubungan baik antara kedua-dua pihak.
Selaras pembangunan negeri, ekonomi Islam juga tidak dibiarkan. Amanah Pulau Pinang menyambut baik pengumuman bahawa UDA Holdings Berhad akan menerajui pembangunan tanah wakaf di Pulau Pinang dengan pelaburan hampir RM250 juta.
Langkah ini bukan sahaja memperkukuh pembangunan sosioekonomi negeri, tetapi memastikan aset wakaf terus dimanfaatkan untuk kemakmuran masyarakat terutamanya orang Melayu Islam.
Secara keseluruhannya, Pulau Pinang telah membuktikan bahawa disiplin fiskal, visi jangka panjang dan pentadbiran yang cekap mampu membawa negeri menuju masa depan yang lebih makmur.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang wajar diangkat sebagai model dan rujukan dalam pengurusan kewangan negeri yang berkesan.
Faiz merupakan Pengerusi AMANAH Pulau Pinang