Banjir di Utara dan Pantai Timur makin teruk, mangsa cecah hampir 22,000

Banjir di Utara dan Pantai Timur Semenanjung semakin teruk dengan ribuan mangsa banjir yang berteduh di pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat.

Seramai 21,938 mangsa banjir dipindahkan ke 174 PPS di seluruh negara membabitkan 7,669 keluarga, setakat jam 9.50 pagi tadi.

Menurut laporan terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 9,744 orang yang kini berlindung di 56 PPS.

Tumpat merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,884 orang manakala 2,396 mangsa di Kota Bharu, Bachok (2,023), Pasir Puteh (167), Kuala Krai (115), Machang (87), Tanah Merah (63) dan Gua Musang sembilan orang.

Keadaan Kg Batu 5 dan 6 Renok di Gua Musang. Ada penduduk difahamkan berpindah jam 4 pagi tadi. Foto: Liey Muse

Di Perak, 4,227 mangsa banjir membabitkan 1,356 keluarga kini ditempatkan di 43 PPS dengan Manjung menjadi daerah paling teruk terjejas.

Tujuh lagi daerah dilanda bah di Perak iaitu Perak Tengah, Hilir Perak, Bagan Datuk, Kuala Kangsar, Batang Padang, Muallim serta Larut, Matang dan Selama.

Di Kedah, jumlah mangsa banjir yang berlindung di 19 PPS meningkat kepada 2,910 orang melibatkan 1,056 keluarga.

Tiga daerah dinaiki air setakat ini iaitu Kubang Pasu dengan 2,163 mangsa diikuti Kota Setar dan Pokok Sena masing-masing 733 dan 14 orang.

Sementara itu, peningkatan mendadak mangsa banjir ditempatkan di PPS berlaku di Terengganu melibatkan 761 orang daripada 243 keluarga.

Mereka dari lima daerah digenangi bah iaitu Marang, Besut, Setiu, Dungun dan Kuala Terengganu pada masa ini berlindung di 18 PPS.

Keadaan banjir di Terengganu dijangka lebih membimbangkan apabila enam sungai di negeri itu melepasi paras bahaya dengan hujan yang kadang-kadang lebat masih berterusan.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Osman Abdullah menasihatkan penduduk yang tinggal di tebing sungai bersiap sedia untuk berpindah ke PPS berhampiran.

BACA JUGA Pas bukan ‘jamaah Islam’, penyelewengan maksud hadis perlu diperbetul