RUU Antibuli dibentang pada 1 Disember
RUU Antibuli akan dibentangkan untuk bacaan pertama pada 1 Disember, kata Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Pada 21 November 2025, Jemaah Menteri telah meluluskan RUU Antibuli untuk dibentangkan di Dewan Yang Mulia ini.
“Bacaan pertama dijadualkan pada 1 Disember 2025, dan suatu taklimat terperinci akan diberikan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat pada hari yang sama untuk menerangkan struktur Jawatankuasa, bidang kuasa Tribunal serta mekanisme pelaksanaan,” kata beliau.
Azalina turut menerangkan mekanisme untuk menangani kes buli yang semakin meningkat, bermula dengan jawatankuasa di peringkat institusi.
RUU ini akan memperuntukkan autonomi yang jelas kepada setiap institusi pendidikan/institusi untuk menggunakan jawatankuasa di peringkat institusi pendidikan/institusi sebagai mekanisme pencegahan utama ataupun dengan izin, first layer.
“Jawatankuasa ini akan berperanan sebagai mekanisme utama antara lain, bagi mencegah, mengesan, mengurus dan melaporkan kes buli di peringkat institusi masing-masing secara berstruktur dan bersepadu.
“Bagi mengisi jurang apabila sesuatu kes tidak dapat diselesaikan oleh Jawatankuasa institusi pendidikan, RUU ini menubuhkan Tribunal Antibuli.
“Tribunal ini diberi mandat untuk menyediakan remedi seperti perlindungan, kaunseling dan pemulihan melalui proses yang tidak adversarial serta direka khusus untuk menjadi mesra kanak-kanak. Pendekatan ini memastikan tiada mangsa tercicir daripada perlindungan yang sewajarnya.
“Keseluruhan kerangka undang-undang ini bersifat sivil yang menekankan keperluan untuk memperkukuh mekanisme pencegahan, perlindungan mangsa serta pemulihan pelaku.
“Ia membentuk platform undang-undang yang menekankan unsur restoratif dan inklusif, dengan tujuan membimbing, memulihkan dan membangunkan kesejahteraan emosi serta akhlak kanak-kanak bagi membentuk generasi masa kini yang menjunjung nilai hormat (respect), kesantunan (courtesy) dan bermaruah (dignity) sebagai asas hubungan sesama insan.
“Akhir sekali, RUU ini mengukuhkan pendekatan penyelesaian pertikaian secara alternatif (ADR), termasuk mediasi berasaskan prinsip keadilan restoratif.
“Pendekatan ini memastikan ibu bapa turut memainkan peranan penting, dan mangsa serta pelaku menerima sokongan jangka panjang yang diperlukan.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching).