Sokongan Warisan semakin merosot menjelang hari pengundian

Kemerosotan pengaruh Warisan menjelang hari pengundian berpunca daripada keputusan parti itu untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, kata penganalisis bebas, Muhammad Alimin.

Menurutnya, keengganan Warisan membentuk koalisi sebagaimana beberapa parti kerajaan yang lain menyebabkan pengundi atas pagar khususnya di kawasan pantai barat Sabah mempertimbangkan untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) yang lebih diyakini akan membentuk kerajaan.

“Kekuatan Warisan kini hanya tertumpu di pantai timur Sabah (Melayu dan Bumiputera), namun pengundi muda generasi Z berpihak kepada kerajaan semasa (PH).

“Di utara Sabah, (sokongan terhadap Warisan) memang terhakis habis dengan wujudnya Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) iaitu parti serpihan Warisan.

“Di (kawasan) barat Sabah, sokongan makin kukuh kepada PH manakala di selatan Sabah, BN masih mendahului dengan bantuan pengundi PH, dan dijangka tidak sukar untuk calon PH atau BN untuk menang,” jelasnya, lapor Suara Keadilan.

Mengulas lanjut, Muhammad Alimin berpendapat, isu kematian Allahyarhamah Zara Qairina pada waktu ini tidak lagi memberikan kesan meningkatkan undi kepada Warisan sebagaimana parti itu berjaya menunggang isu berkenaan pada Ogos hingga September lalu.

Beliau menjangkakan Warisan hanya mampu memenangi sekitar 15 daripada 73 DUN yang dipertandingkan.

Namun, ujarnya, dengan lebih daripada dua pertiga kebarangkalian, kemungkinan Warisan hanya akan menawan kurang daripada jumlah tersebut.

Selain itu, Alimin berpendapat Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mungkin kekal sebagai Ketua Menteri jika blok itu berjaya menggerakkan semua pengundi mereka.

Namun, jelasnya, jika BN pada saat akhir berjaya menarik segmen pengundi muda, tidak mustahil BN akan menjadi parti terbesar di DUN Sabah.

“Jika BN berjaya menarik sokongan pengundi muda Gen Z (undi 18), Datuk Seri Bung Moktar berpotensi menjadi Ketua Menteri. Sekali lagi membentuk kerajaan secara mudah dengan PH,” katanya lagi.

Dalam PRN Sabah kali ini, Warisan bertanding di semua 73 kerusi DUN tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti politik lain.

Parti diterajui Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu pernah menerajui Kerajaan Negeri Sabah antara 2018 hingga 2020.

BACA JUGA Dakwaan bercelaru dan tiada bukti, nama PMX cuba ditempel dalam isu peribadi