Calon PH Elopura kecam komik hina wanita mengandung
Calon Pakatan Harapan DUN N55 Elopura Vivian Wong mengecam penyebaran lukisan komik yang menghina wanita yang mengandung
Komik tersebut mempersoal bagaimana seorang wanita yang mengandung boleh memberikan khidmat sebagai wakil rakyat.
“Saya memilih untuk bersuara kerana kita tidak boleh membiarkan pemikiran seperti ini dinormalisasikan.
“Wanita berhak dihormati. Wanita mampu memimpin. Wanita tidak lemah — dan tidak boleh direndahkan hanya kerana status perkahwinan atau kehamilan.
“Saya berdiri teguh — bukan untuk diri saya, tetapi untuk semua wanita yang pernah diremehkan,” kata Wong yang juga Ahli Parlimen Sandakan dalam kenyataannya.
“Karya ini terlampau bukan hanya menyerang saya — ia menghina semua wanita, khususnya wanita Sandakan dan Sabah.”
Beliau turut menegaskan wanita sebagai sebagai wakil rakyat, menteri dan perdana menteri telah pun membuktikan kebolehan mereka di seluruh dunia.
“Saya tidak akan berdiam diri apabila ada pihak yang menghina wanita yang berkahwin atau mengandung, seolah-olah mereka tidak mampu menjalankan tugas.
“Di seluruh dunia, berapa ramai wakil rakyat, menteri, malah perdana menteri wanita yang telah membuktikan kemampuan mereka memimpin dengan cemerlang?
“Di Sandakan sendiri, kita mempunyai ramai wanita hebat yang setiap hari berkhidmat demi rakyat.
“Lukisan ini dikatakan datang daripada seorang guru sekolah menengah. Saya bukan tersinggung atas kapasiti peribadi. Saya sudah berkali-kali menjadi sasaran dilukis dalam komik cikgu ni dan dihina — itu tidak pernah menjejaskan perkhidmatan saya.
Wong berdepan pertandingan tujuh penjuru di Elopura dalam pilihan raya negeri Sabah yang akan berlangsung pada 29 Nov.