Datuk Chan cadang projek nyahgaram sebagai solusi krisis air Pulau Gaya
Isu bekalan air di Pulau Gaya bukan sekadar rungutan bermusim, tetapi realiti berpanjangan yang menghantui kehidupan harian ribuan penduduk.
Kebergantungan kepada sistem paip dari tanah besar dengan tekanan yang tidak konsisten telah menjadikan bekalan air sebagai cabaran asas yang gagal ditangani secara menyeluruh sejak bertahun-tahun.
Walaupun saluran paip dibina sejak pentadbiran terdahulu, tekanan air sering tidak mencukupi menyebabkan penduduk terpaksa bergelut dengan gangguan berulang.
Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin, tampil dengan cadangan lebih strategik dan berasaskan teknologi: pembinaan loji rawatan atau penyahgaraman air laut.
Menurutnya, langkah ini berpotensi menjadi penyelesaian jangka panjang yang mampu menjamin bekalan air bersih yang lebih stabil kepada penduduk pulau.
Cadangan ini bukan eksperimen baharu kerana model sama telah dilaksanakan di Pulau Berhala, Sandakan melalui Jetama Sdn Bhd, syarikat berkaitan kerajaan negeri yang terlibat dalam pengurusan rawatan air.
Chan menjelaskan cadangan membangunkan loji nyahgaram di Pulau Gaya akan dibawa ke peringkat perbincangan bersama Jetama bagi meneliti kapasiti, kos dan kaedah pelaksanaan.
Jika teknologi sama boleh dimanfaatkan masyarakat Pulau Berhala, adalah wajar Pulau Gaya menikmati kemudahan setara.
Masalah bekalan air bukan sahaja menjejaskan keselesaan hidup tetapi turut menghakis kemampuan kewangan isi rumah apabila penduduk terpaksa membeli air minuman setiap hari dengan kos mencecah sekitar RM7.
Keadaan ini menyumbang kepada peningkatan sisa plastik akibat penggunaan botol air secara berterusan yang seterusnya menjejaskan kelestarian alam sekitar.
Chan menyatakan isu bekalan air di Sabah berpunca daripada kadar urbanisasi yang lebih pantas berbanding pembangunan loji baharu.
Walaupun Loji Rawatan Air Telibong 2 mula beroperasi, keperluan bekalan air di Kota Kinabalu dijangka hanya ditampung untuk tempoh beberapa tahun sebelum keperluan baharu timbul semula.
Pakatan Harapan Sabah berkomitmen untuk menilai semula pembinaan empangan berskala besar sebagai sebahagian pelan jangka panjang bagi menjamin keselamatan bekalan air negeri.
Namun isu air hanyalah sebahagian daripada deretan cabaran besar yang harus diberi perhatian di Tanjung Aru.
Rancangan lain
Chan menegaskan kebajikan penjaja di Pantai Tanjung Aru mesti diutamakan termasuk memastikan akses pelancong ke kawasan baharu tidak menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Pantai pertama kini masih digunakan oleh penjaja kecil yang beroperasi menggunakan kemudahan sementara tanpa struktur kekal.
Perancangan memindahkan penjaja ke pantai ketiga hanya boleh dilaksanakan selepas beberapa perkara melibatkan pentadbiran baharu diperjelaskan.
Chan menekankan bahawa Tanjung Aru perlu terus kekal sebagai kawasan awam yang boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Di Sembulan, isu penempatan semula penduduk terus menjadi antara cabaran utama dalam pelaksanaan Skim Pembaharuan Sembulan.
Chan berpendapat pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) perlu dipercepat bagi membolehkan penduduk dipindahkan secara berperingkat sebelum pembangunan semula dijalankan.
Antara cadangan termasuk penyerahan sebahagian kira-kira 40 hektar tanah milik DBKK kepada kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembinaan PPR berkenaan.
Chan menyatakan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah), usaha penyelesaian masalah ini akan dipacu melalui kapasiti yang beliau ada.