Penipuan siber: Bank perlu sasar kempen kesedaran kepada golongan berisiko tinggi – Pakar
Penipuan kewangan kekal antara kategori jenayah digital bulanan tertinggi di Malaysia.
Meskipun pelbagai kempen kesedaran dijalankan oleh pihak bank dan agensi kerajaan, penipu semakin kreatif memanipulasi teknologi, dan menggunakan identiti individu lain.
Situasi ini menjadikan golongan berisiko tinggi lebih mudah terjerat, terutamanya apabila godaan kekayaan cepat dan tawaran luar biasa digunakan sebagai umpan.
Menurut pakar keselamatan siber, Dr Firkhan Ali Hamid Ali, kebanyakan penipuan yang berlaku hari ini bersifat peribadi dan sukar dikesan awal apatah lagi terdapat kemudahan perbankan internet yang mudah digodam.
Ada beberapa keadaan di mana mangsa terjebak dalam penipuan kerana mahu mendapatkan kekayaan secara cepat dan diperdayakan dengan pelbagai jenis kesalahan melibatkan wang.
Pun begitu, beliau akui banyak kempen kesedaran dijalankan agensi-agensi perbankan, tetapi persoalannya adakah ia sampai ke kumpulan sasar terutama golongan berisiko tinggi.
Beliau mencadangkan supaya syarikat perbankan memfokuskan kepada pemilik akaun bank dari golongan berisiko tinggi bagi mengelakkan lebih ramai ditipu.
“Walaupun pelbagai iklan kesedaran dibuat oleh pihak bank tetapi adakah ia sampai kepada sasaran individu?
“Pihak bank boleh membantu dengan kempen kesedaran dan pendidikan dengan menyasarkan pemilik akaun bank secara individu terutama golongan yang berisiko tinggi.
“Dalam masa sama, saluran laporan yang tidak digunakan sepenuhnya dan kesedaran yang belum sampai kepada sasaran, menyumbang kepada peningkatan kes setiap bulan,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.
Dr Firkhan yang juga Pensyarah Kanan di Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web UTHM, berkata, penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) adalah satu pendekatan yang baik, dan menurutnya bank juga boleh bekerjasama dengan agensi itu supaya langkah ofensif dapat dibuat lebih awal berdasarkan laporan yang diterima.
Langkah berjaga-jaga elak terpedaya hal tidak wujud
Sementara itu Dr Firkhan berkata, kebanyakan kes penipuan hanya dapat dikesan selepas mangsa membuat laporan polis, iaitu ketika wang telah hilang dan kerugian sudah berlaku.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai yang berdepan situasi mencurigakan supaya terus membuat laporan kepada NSRC agar tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkaitan.
“Nasihat saya kepada orang ramai jangan mudah terpedaya dengan sesuatu tawaran dan dakwaan yang tak masuk akal,” katanya.
Beliau menekankan pentingnya pengguna membuat semakan kendiri sebelum mempercayai apa-apa tawaran, termasuk menilai semula sama ada sesuatu dakwaan itu logik atau tidak.
Orang ramai disaran menghubungi semula pihak yang didakwa terlibat, seperti polis, bank atau syarikat insurans, bagi mendapatkan kepastian.
Sebagai langkah tambahan yang lebih praktikal, Dr Firkhan mencadangkan agar orang ramai meminta pihak yang menghubungi mereka membuat panggilan video melalui WhatsApp.
Katanya, penipu selalunya akan memutuskan panggilan apabila diminta berbuat demikian.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) membuka ruang kepada penipuan yang lebih canggih, sekali gus menuntut masyarakat untuk lebih berhati-hati dalam menangani isu ini.
Dengan peningkatan taktik penipuan yang semakin canggih, masyarakat disaran kekal berwaspada dan tidak membuat sebarang transaksi sebelum pengesahan dilakukan.
BACA JUGA Segerakan akses kontraktor RBT, LLM, desak Adun Kota Kemuning