PMX tidak datang bawa janji kosong, kerajaan MADANI pacu penyelesaian masalah Sabah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa komitmen Kerajaan MADANI terhadap pembangunan Sabah bukan sekadar slogan politik, sebaliknya sedang dilaksanakan melalui tindakan nyata yang semakin dirasai rakyat negeri itu.

Berucap pada rapat umum bersama calon-calon Pakatan Harapan (PH) di Likas malam ini, Anwar berkata Sabah berhak menikmati pembangunan yang adil dan saksama, dan kerajaan Persekutuan kini mempercepat pelbagai projek asas yang sekian lama tertangguh.

PM Anwar menyampaikan ceramah perdana semasa Grand Finale PH di Likas malam ini.

Beliau turut menekankan bahawa hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti terus dihormati dan diperkasakan, bukan dijadikan modal kempen saban kali pilihan raya.

“Banyak perkara asas yang tertangguh yang membebankan rakyat saban tahun daripada penambahbaikan bekalan elektrik, pembinaan jalan raya hingga penyelesaian masalah air, kini dipacu dengan lebih pantas,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar juga menegaskan bahawa beliau tidak datang dengan janji kosong, sebaliknya komitmen MADANI dibuktikan melalui pengukuhan tadbir urus, penutupan ruang ketirisan serta jaminan bahawa setiap peruntukan benar-benar sampai kepada rakyat Sabah.

“Saya juga menegaskan perlunya sinergi yang kuat, jujur dan saling menghormati antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri demi memastikan hasil pembangunan benar-benar kembali kepada rakyat terbanyak di Sabah,” ucapnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menyeru rakyat Sabah untuk bangkit menolak politik perpecahan dan memberi mandat kepada calon-calon PH bagi meneruskan agenda memperjuangkan hak rakyat serta membawa negeri itu ke arah pembangunan yang lebih maju, inklusif dan bermaruah.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 2025 (PRN Sabah ke-17), PH bertanding 22 daripada keseluruhan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

10 kerusi DUN yang PH tandingi daripada PKR adalah Inanam, Tulid, Petagas, Segama, Gum Gum, Api Api, Merotai, Melalap, Sindumin dan Karamunting.

Sementara itu, calon PH dari AMANAH hanya di kerusi Sulabayan manakala DAP meletakkan lapan calon di kerusi DUN Sri Tanjong, Elopura, Tanjung Papat, Kapayan, Luyang, Tanjung Aru dan Likas.

BACA JUGA Mahathir dalang sebenar, Albert Tei dah lama himpit orang politik